Jarang sekali sebuah kedai kopi kejiranan dikaitkan dengan pastri seperti creme brulee Danish, roti shiopan, piza atau minuman matcha. Lebih jarang lagi ia beroperasi dalam ruang berhawa dingin dengan suasana yang menyerupai sebuah kafe.

Namun, itulah yang cuba ditampilkan The Coffeehood & Tea Hall di Sengkang apabila memperkenalkan konsep kedai kopi halal yang menggabungkan hidangan tempatan dengan pilihan makanan moden di bawah satu bumbung.

Selain menawarkan hidangan seperti nasi lemak, makanan laut dan mi, kedai kopi yang menempatkan tujuh gerai itu turut menampilkan Bake Cakery yang menjual pelbagai pastri, roti artisan serta piza yang dibakar segar apabila dipesan.

Menurut pengurusnya, Encik Nuh Mohd, 51 tahun, konsep itu lahir daripada keinginan mengubah tanggapan bahawa kedai kopi halal hanya menawarkan makanan Melayu tradisional.

“Apabila orang bercakap tentang makanan halal, ramai akan terus membayangkan makanan Melayu. Kami mahu membawakan konsep yang lebih moden, sesuai untuk pelajar, golongan profesional dan penduduk sekitar Sengkang berkumpul.

“Kami mahu buktikan bahawa pelanggan tidak perlu memilih antara suasana yang selesa atau pilihan makanan yang pelbagai. Mereka boleh menikmati kedua-duanya di satu tempat,” katanya.

Selain ruang berhawa dingin, kedai kopi itu turut menyediakan tempat duduk di luar yang menghadap kawasan hijau berhampiran penghubung taman, sekali gus menjadikannya lokasi persinggahan bagi keluarga dan pengunjung berlari atau berbasikal.

Encik Nuh berkata, konsep tersebut juga diwujudkan selepas menyedari penduduk di kawasan kejiranan baharu seperti Sengkang sering perlu ke pusat beli-belah atau estet yang lebih matang bagi mendapatkan pilihan makanan halal yang lebih pelbagai.

“Kami banyak berbual dengan keluarga muda di sini. Mereka beritahu jika mahukan makanan halal yang lebih moden atau pelbagai, selalunya mereka perlu ke Tampines atau pusat beli-belah.

“Jadi kami fikir, mengapa tidak bawakan pilihan itu terus ke kawasan kejiranan mereka supaya lebih mudah diakses?” ujarnya.

Antara gerai yang mencuri perhatian ialah Mee Cik Ling, yang diusahakan oleh Cik Amira Ramlan bersama suaminya.

Cik Amira, yang juga merupakan anggota pasukan pemasaran The Coffeehood & Tea Hall, berkata idea mewujudkan gerai itu tercetus selepas mereka mengambil inspirasi daripada sebuah kedai mi ikan yang popular di Bugis tetapi tidak halal.

Bagi merealisasikan konsep tersebut, mereka bekerjasama dengan pemilik asal untuk memperhalusi resipi dan membangunkan versi halal tanpa menjejaskan keaslian rasa hidangan berkenaan.

“Kami mahu masyarakat Islam turut dapat menikmati mi ikan yang berkualiti. Kuahnya menggunakan ikan segar dan makanan laut, dan kami menjalankan penyelidikan serta pembangunan bersama bagi memastikan rasanya kekal asli,” jelas Cik Amira.

Selain Mee Cik Ling, pelanggan juga boleh menikmati Mee Bagus yang menawarkan pelbagai hidangan mi termasuk mi wantan, Makan Melaka yang terkenal dengan nasi lemak berlauk, Chops & Sear yang menyajikan hidangan Barat serta Sinar Seafood dengan pelbagai pilihan makanan laut.

Menurut Encik Nuh, sambutan yang diterima sejak pembukaannya pada Januari turut melangkaui jangkaan apabila bukan sahaja menarik pelanggan Islam, malah masyarakat pelbagai kaum.

“Kami pada mulanya menyasarkan penduduk sekitar Sengkang, tetapi kini ada pelanggan datang dari Jurong, Clementi dan Toa Payoh.

“Apabila semua makanan di sini halal, orang ramai tidak lagi perlu risau memilih tempat untuk berkumpul. Mereka hanya datang, duduk dan menikmati pelbagai pilihan makanan bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya.

Encik Noh harap Coffeehood & Tea Hall dapat dibuka di estet perumahan lain seperti di Tengah dan Clementi.

Coffeehood & Tea Hall
Alamat: 170A Sengkang East Drive, Singapura 541170
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 7 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon