Quesillo curi hati pengunjung bazar Ramadan 2026
Sanggup beratur panjang untuk pencuci mulut itu yang bermaksud keju kecil dalam Sepanyol
Jika sebelum ini, makanan seperti kunafa yang berasal dari Timur Tengah mendapat perhatian, kini pencuci mulut dari Venezeula, quesillo, pula tular pada Ramadan kali ini.
Ramai pelanggan yang sanggup beratur panjang di bazar Ramadan untuk mendapatkan pencuci mulut tersebut, yang namanya bermaksud keju kecil dalam bahasa Sepanyol.
Hidangan itu mula menarik perhatian di Malaysia, terutamanya melalui penjual seperti RizzQuesillo di Bukit Bintang.
Quesillo diperbuat daripada telur, susu, susu pekat manis, gula untuk karamel dan vanila.
Teksturnya lebih pejal berbanding flan klasik, dengan liang-liang halus di dalamnya hasil penggunaan keseluruhan telur dan teknik mengisar adunan.
Pengkaji warisan, Encik Khir Johari menjelaskan dalam satu hantaran Instagram bahawa quesillo mempunyai bahan asas yang sama dengan pencuci mulut Perancis, creme caramel, iaitu karamel, telur dan susu, namun imbangan ramuannya berbeza.
“Creme caramel secara tradisinya mempunyai tekstur selembut sutera, dengan hasil yang licin dan halus tanpa cela.
“Quesillo pula selalunya diperkaya dengan susu pekat manis dan menggunakan telur dengan lebih banyak, lalu membuatnya mempunyai karakternya tersendiri, kadangkala menampakkan liang-liang kecil yang menjadi ciri khasnya,” tulisnya.
Berbeza dengan quesillo, creme caramel menggunakan susu penuh tanpa susu pekat manis, menghasilkan tekstur yang lebih ringan dan sangat licin.
Ia dibakar menggunakan teknik bain-marie atau rendaman air, untuk memastikan kastard tidak berketul dan kekal selembut sutera.
Di Filipina pula, leche flan, versi yang lebih berat dan padat dengan menggunakan kuning telur sahaja bersama susu pekat manis dan susu sejat.
Sementara itu di Vietnam, banh flan muncul hasil pengaruh kolonial Perancis.
Ia lebih ringan dan seimbang dari segi rasa, tidak terlalu manis dan tidak terlalu kaya.
Di Singapura, restoran Vietnam seperti Pham Quyen telah memperkenalkan versi ini sejak 2024 sebelum berhenti seketika pada 2025.
Pemiliknya, Encik Fahmy Nasir, menyifatkan banh flan dan quesillo sebagai ‘sepupu’ tetapi dengan personaliti berbeza.
Menurutnya, banh flan lebih fleksibel dari segi penyajian.
“Keistimewaan banh flan ialah sirap atau topping yang dituangkan di atasnya membolehkan pelanggan menyesuaikan tahap kemanisan serta kepekatan rasa mengikut cita rasa,” katanya.
Antara variasi yang ditawarkan termasuk siraman kopi Vietnam pekat yang paling popular serta yang lain termasuk santan dan pandan, madu asli dan sirap maple.
Kini pelanggan boleh juga menikmati banh flan pada harga $2.90 ke atas.
Menariknya pencuci mulut yang tular ini mempunyai pelbagai versi. Dari Venezuela ke Perancis, Filipina hingga Vietnam, semuanya berkongsi asas yang sama tetapi menampilkan ciri-ciri yang unik.
Satu lagi versi yang menarik perhatian ramai netizen ialah versi yang ditampilkan pempengaruh Khairul Aming di Malaysia.
Beliau pula berkongsi resipi untuk Puding Karamel, yang bahan asasnya serupa quesillo tetapi menggunakan roti untuk menghasilkan struktur puding yang lebih ‘terbentuk’.
Rasa puding karamel beliau itu “ibarat kita kahwinkan cheesecake dengan puding roti”, menurut Khairul Aming, dalam videonya yang meraih lebih 22.5 juta tontonan di Tiktok dan 7 juta tontonan di Instagram.

