SHAH ALAM: Sebanyak 10 kumpulan ajaran sesat di Selangor kini berada dalam radar dan pemantauan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata pihaknya dengan kerjasama PDRM mempunyai maklumat berkait 10 kumpulan ajaran sesat berkenaan.

“Fatwa rasmi sudah keluar (mengenai pengharaman ajaran sesat berkenaan)... (ada) dalam 10 kumpulan ajaran sesat. Penguatkuasaan sedang dijalankan ketika ini.

“Tidak ada (kumpulan ajaran sesat) yang besar macam Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (Global Ikhwan).

“Kebanyakannya kumpulan ajaran sesat kecil, saya ambil contoh Qadiani dengan cubaan untuk memulakan (kegiatan) mereka di rumah kedai yang mana kita turun, sita, beri amaran dan mereka hilang.

“Setakat ini, tidak ada (kumpulan ajaran sesat) di tahap yang membimbangkan. Sebab itu kena ada asas undang-undang.

“Jadi fatwa sudah dikeluarkan, maka tindakan perundangan boleh diambil atas mereka (kumpulan berkenaan),” katanya pada sidang media, di Shah Alam, Selangor, pada 23 Jun, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada Mei lalu, media melaporkan Ketua Bahagian Fatwa Mufti Selangor, Encik Mohamad Shukry Sulaiman, mengesahkan tujuh ajaran sesat diwarta sebagai menyeleweng antara 2021 dengan 2026.

Pengesahan itu dibuat selepas melalui proses penyelidikan, temu bual dan siasatan pelbagai pihak bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Beliau dilaporkan berkata kertas kajian dibuat selepas benar-benar yakin dan faham dengan pandangan mereka dan perbandingan dibuat dengan elemen dalam ahli sunah waljamaah.

Ajaran sesat berkenaan ialah ajaran Asmaul Husna (2022), Ibu Yati (2022), Makrifat (2024), Global Ikhwan (2024), Si Hulk (2025), Risalah Bab Kesucian (2025) dan Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (2026).