Topic followed successfully
Go to BHkuBukit Aman siasat kes sunting gambar hina Sultan Selangor
Bukit Aman siasat kes sunting gambar hina Sultan Selangor
Bukit Aman siasat kes sunting gambar hina Sultan Selangor
SHAH ALAM: Siasatan kes jelik yang memaparkan suntingan gambar menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung isu penternakan babi, kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan laporan polis telah diterima dan kertas siasatan dibuka.
“Namun, siasatan kini dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menjalankan siasatan awal.
“Disebabkan keseriusan isu ini, Bukit Aman mengambil alih siasatan, kini di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas.
“Justeru, sebarang ulasan wajar diajukan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi mengelakkan percanggahan pendapat dan fakta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 28 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, Ahli Dewan Diraja Selangor mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat segera tindakan biadab itu.
Ahli Dewan di-Raja Selangor, Datuk Salehuddin Saidin, menyuarakan rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya hantaran jelik serta tidak bertanggungjawab oleh pemegang akaun media sosial tersebut.
Individu itu secara terang-terangan memaparkan suntingan gambar menghina Sultan Selangor, mengaitkannya dengan isu penternakan babi di Selangor.
“Tindakan itu adalah perbuatan jahat, melampau, dan tidak bertanggungjawab.
“Ia bukan sahaja mencemarkan keperibadian Sultan Selangor, bahkan satu penghinaan terhadap kedaulatan Institusi Diraja yang kedudukannya dijamin Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
“Selain itu, perbuatan tersebut mencetuskan kemarahan, keresahan, dan kegusaran mendalam dalam kalangan rakyat Selangor yang selama ini menjunjung tinggi kedaulatan baginda serta mendambakan keharmonian hidup bermasyarakat,” tegasnya.

