Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

11.8j rakyat M’sia tebus Sara bernilai RM745.7j

Sep 8, 2025 | 2:26 PM
Malaysia, Sumbangan Asas Rahmah, Sara
Orang ramai berbaris di pasar raya untuk menebus penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bernilai RM100 daripada kerajaan Malaysia untuk setiap 22 juta warga berusia 18 tahun ke atas sejak 31 Ogos lalu. - Foto BERNAMA

Lebih 11.8 juta warga Malaysia telah menebus guna penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sekali beri (one-off) melibatkan nilai jualan keseluruhan setakat ini RM745.7 juta ($226.9 juta), sejak ia mula dilaksanakan pada 31 Ogos lalu.

Namun, inisiatif kerajaan Madani untuk meringankan beban perbelanjaan isi rumah warga Malaysia itu dicemari dengan beberapa laporan terdapat peniaga cuba menaikkan harga barangan di premis masing-masing bagi mengaut lebih keuntungan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan Madani mengambil maklum beberapa aduan di media sosial bahawa terdapat kenaikan harga barang susulan pelaksanaan penghargaan Sara dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan menerusi program itu.

“Kerajaan Madani akan menyiasat aduan bahawa terdapat kenaikan harga barang susulan pelaksanaan Penghargaan Sara. 

“Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

“Sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada malam 7 September.

Dalam masa sama, Datuk Amir Hamzah berkata Kerajaan juga menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk membuat aduan rasmi kepada KPDN bagi membolehkan siasatan segera dilaksanakan sekiranya ada berlaku kenaikan harga.

“Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp di 019-848 8000, atau pusat talian di 1-800-886-800,” katanya.

Mengulas lanjut Datuk Amir Hamzah berkata pada hari kelapan pelaksanaan Sara pada 7 September, sejumlah RM102.5 juta nilai jualan direkodkan dengan 1.7 juta penerima menebus guna bantuan penghargaan itu, malah proses penebusan juga bertambah lancar berbanding tempoh awal pelaksanaannya.

Sebelum ini, warga Malaysia yang ke pasar raya untuk membeli barang keperluan menggunakan sumbangan Sara ketika ia bermula sejak 31 Ogos lalu mengeluh berikutan kegagalan fungsi sistem MyKasih, menyebabkan mereka tidak dapat menebus guna RM100 yang diperuntukkan.

Keadaan itu menyebabkan ratusan troli berisi barangan yang mahu dibeli penerima menggunakan Sara ditinggalkan pelanggan, sehingga menyebabkan kekalutan dan kerugian kepada pasar raya yang terlibat.

“Kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus bagi dua hari berturut-turut (6 dan 7 September). Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini,” kata Datuk Amir Hamzah.

Penghargaan Sara sekali beri kepada 22 juta warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Julai lalu, bertujuan membantu meringankan bebanan kos sara hidup rakyat.

Ia dikreditkan ke dalam kad pengenalan (MyKad) warga Malaysia dan boleh ditebus untuk pembelian tanpa tunai bagi 14 kategori barangan keperluan asas yang disenaraikan di pasar raya terpilih seluruh Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg