KUALA LUMPUR: Polis Malaysia telah memanggil seramai 12 individu bagi memberi keterangan dalam siasatan terhadap dakwaan seorang pemandu kenderaan privet orang kelainan upaya (OKU) dipukul pengawal pengiring Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 28 Mei lalu.
Selain mangsa, Encik Ong Ing Keong, 46 tahun; mereka yang dipanggil termasuk pengiring terbabit serta pekerja hotel di lokasi kejadian, anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota juruiring Pemangku Sultan Johor, rakan pengadu, doktor dan pengarah operasi syarikat perkhidmatan kenderaan privet berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata hasil keterangan yang direkodkan, pihaknya sudah menghantar kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.
“Walaupun pengadu (mangsa) dalam kes ini telah menarik laporan polis, namun hasil sambungan rakaman percakapan yang dijalankan mendapati pengadu masih berminat dan ingin meneruskan kes ini.
“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan pada 8.30 pagi 4 Jun untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada 5 Jun, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tan Sri Razarudin berkata hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan tatatertib.
“Sehubungan kejadian ini, saya menasihatkan orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi termasuk mengaitkan kes ini dengan institusi diraja. Sebarang sebaran maklumat yang tidak benar boleh menjejaskan siasatan yang dibuat,” katanya.
Kes itu sebelum ini turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Ismail, yang menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian berkenaan dan memberi keadilan kepada mangsa.
Tunku Mahkota Ismail yang juga dikenali dengan panggilan TMJ menegaskan beliau tidak akan sesekali membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku.
Beliau juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja, namun menyifatkan tindakan mengaitkan dirinya dan seluruh institusi diraja adalah sesuatu yang tidak wajar.
Terdahulu, Encik Ong dilihat hadir ke Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 10.40 pagi 5 Jun selepas dipanggil memberi keterangan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, dengan ditemani peguam Lawyers For Liberty (LFL), Cik Latheefa Koya dan Encik N Surendran.
Dalam kejadian pada 28 Mei lalu, Encik Ong mendakwa telah ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya oleh pengawal pengiring terbabit ketika beliau mahu mengambil penumpang di hotel berkenaan.
Susulan itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sebelum membuat laporan polis kira-kira 1 petang pada hari kejadian, namun Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata Encik Ong kemudian membuat laporan polis kedua kira-kira 10 malam hari sama untuk menarik semula laporan yang dibuat.
Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan, Encik Ong menafikan beliau menarik balik laporan, sebaliknya mendakwa diberi pilihan sama ada untuk meneruskan laporan pertamanya berhubung insiden tersebut dan polis akan merampas telefonnya untuk siasatan atau beliau boleh menggugurkan kes dan menerima pampasan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg