Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Salah guna doa demi politik boleh bawa kepada ekstremisme, radikalisme

Jul 29, 2025 | 1:17 PM
M’sia, isu salah guna doa, ekstremisme, radikalisme  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto FACEBOOK MOHD NA’IM MOKHTAR

Kandungan doa yang dibacakan pemimpin politik di sebuah himpunan awam di Kuala Lumpur baru-baru ini dilihat bertentangan dengan asas doa sebagai senjata agama bagi membangun rohaniah umat, dan dibimbangi boleh mendorong kepada tindakan ekstremisme dan radikalisme.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang melahirkan kebimbangan itu, menyatakan rasa amat kesal terhadap tindakan seorang ahli politik pada himpunan berkenaan, yang dilihat tidak menghormati kedudukan doa sebagai senjata umat.

Malah, Datuk Mohd Na’im berkata lebih mendukacitakan, kandungan doa yang dibacakan di hadapan orang ramai itu mengandungi unsur penerapan fahaman yang memecahbelahkan hubungan sesama umat Islam serta tuduhan tidak berasas terhadap barisan kepimpinan negara. 

“Kandungan doa tersebut amat membimbangkan kerana ia boleh mendorong tindakan ekstremisme dan radikalisme dalam kalangan masyarakat awam.

“Sesungguhnya, doa sebagai senjata bagi setiap mukmin adalah penghubung keutuhan hubungan rohaniah hamba dengan Allah swt selaku Pencipta Yang Maha Agung. 

“Doa juga adalah jalan bagi memohon kerahmatan Ilahi agar diberi keampunan terhadap kelalaian insan, kemudahan dalam segala urusan kehidupan serta mengukuhkan kekuatan ummah dalam berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran di dunia ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada 29 Julai.

Oleh itu, Datuk Mohd Na’im menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap pihak tertentu yang tidak menghormati kedudukan doa daripada sudut syariat Islam serta menggunakannya secara sempit demi kepentingan diri serta kumpulan tertentu. 

“Umat Islam mesti memperteguhkan kesedaran agama dan penghayatannya yang syumul bagi berdepan dengan pelbagai diayah licik dan halus menggunakan imej serta unsur agama oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk melemahkan kekuatan yang dicapai oleh Malaysia pada hari ini,” katanya.

Datuk Mohd Na’im tidak menamakan himpunan itu, namun ia difahami melibatkan ‘Himpunan Turun Anwar’ anjuran pembangkang pada 26 Julai bagi mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Himpunan yang disertai ribuan peserta itu diadakan kerana mendakwa Datuk Anwar gagal menangani pelbagai cabaran ekonomi, peningkatan kos sara hidup rakyat dan ketidakstabilan politik Malaysia.

Sementara itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) turut bimbang terhadap beberapa kejadian semasa perhimpunan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata pihaknya memandang serius perbuatan membaca Qunut Nazilah yang menyasarkan pemimpin negara, menyebarkan tuduhan liwat tanpa bukti serta memaparkan patung simbolik pemimpin sedang disebat, yang disifatkan sebagai perbuatan melampaui batas adab dan akhlak Islam.

“Doa ialah ibadah yang agung dan perlu dilakukan dengan hikmah serta keikhlasan, bebas daripada pengaruh emosi atau kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg