Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 projek tebatan banjir bernilai RM3b sudah dimulakan ikut jadual

Oct 22, 2024 | 1:53 PM
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2025, sebanyak 12 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos RM3 bilion ($910 juta) sudah dikeluarkan Surat Setuju Terima pada 2024 dan berjalan mengikut jadual.

Perkara itu menunjukkan iltizam kerajaan Malaysia dalam mempergiat pelaksanaan projek RTB, berikutan perubahan iklim semakin ketara yang mengakibatkan cuaca ekstrem dan kejadian banjir di negara itu.

Beliau berkata antara projek berkenaan membabitkan RTB Sungai Damansara di Selangor; RTB Sungai Likas di Kota Kinabalu, Sabah; dan RTB Sungai Triang di Bera, Pahang.

“Setakat ini, kerajaan berjaya siapkan lapan projek RTB bernilai RM540 juta.

“Dalam menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar lain, sebagai langkah segera, penyaluran RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 2024 juga, Datuk Fadillah berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah merancang penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk kawasan pasti banjir di seluruh negara, dengan 4,619 lokasi sudah dikenal pasti oleh JPS.

“Kerajaan memperuntukkan RM945 juta bagi melaksanakan 119 projek tebatan banjir untuk tahun ini (2024), dalam usaha mengurangkan impak banjir serta kerosakan harta benda awam, dan daripada jumlah itu, 93 projek sedang dilaksanakan dan 26 projek lagi dalam peringkat prapelaksanaan.

“Petra juga menyediakan pelan induk tebatan banjir berdasarkan lembangan sungai utama di seluruh negara sebagai penyelesaian jangka panjang, yang bertujuan menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh,” katanya.

Sehingga 2024, sebanyak 49 pelan induk tebatan banjir sudah disiapkan, manakala tujuh pelan sedang dibangunkan dan tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan seawal Disember ini.

Bagi tempoh 2020 hingga 2023, katanya, sebanyak 26 projek tebatan banjir disiapkan, merangkumi 17 projek struktur dan sembilan projek bukan struktur.

Belanjawan 2025 antara lain memfokuskan kepada pembangunan sektor tenaga dan air, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.95 bilion, merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.59 bilion.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg