Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kuala Lumpur ‘lumpuh’ dek banjir kilat

Oct 15, 2024 | 4:01 PM
Banjir kilat di Kuala Lumpur menenggelamkan rumah dan kediaman penduduk.
Banjir kilat di Kuala Lumpur menenggelamkan rumah dan kediaman penduduk. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur ‘lumpuh’ pada pagi 15 Oktober akibat banjir kilat selain kejadian tanah runtuh, sekolah ditenggelami banjir, serta penutupan Lebuhraya Smart Expressway (Smart) sebagai persediaan operasi banjir.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan sebanyak 11 kawasan terjejas banjir, iaitu Jalan Pantai Baharu; Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn) dan Jalan Kinabalu; Jalan Maharajalela; Jalan Travers; Jalan Damansara dan Jalan Ledang.

Turut terjejas Jalan Segambut; Jalan Genting Klang (berhadapan Shell); Jalan Genting Klang; Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street).

Selain itu laluan masuk ke Wisma Bernama dari arah Jalan Tun Razak turut dinaiki air dan kedengaran sistem penggera keselamatan di Sungai Bunus menandakan ia melepasi paras bahaya.

Kampus Universiti Malaya (UM) turut dinaiki air banjir.

Menurut DBKL, kejadian berpunca daripada limpahan hujan yang sangat tinggi iaitu melebihi 60 milimeter (mm) setiap jam. Bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar mencatat lebih 114mm setiap jam.

“Hujan lebat berterusan sejak 8.30 pagi tadi (15 Oktober) menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air akibat limpahan sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak,” kata DBKL dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Malah, banjir kilat turut menyebabkan sidang Dewan Rakyat pada 15 Oktober yang sepatutnya bermula pada 10 pagi, ditangguhkan selama 30 minit selepas ramai Ahli Parlimen terperangkap susulan beberapa laluan dinaiki air.

“Di luar sana hujan terlalu lebat dan beberapa jalan dinaiki banjir, ramai di antara Yang Berhormat (YB) terperangkap dalam banjir tersebut.

“Oleh demikian saya ingin menggunakan Peraturan Mesyuarat 12 (2) untuk menangguhkan mesyuarat hingga 10.30 pagi,” kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sementara itu di Selangor, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Encik Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata banjir kilat mengakibatkan kenderaan terkandas, tanah runtuh dan pokok tumbang, selain sekolah ditenggelami banjir.

Beliau berkata sekumpulan 21 murid dan empat guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di Kampung Klang Gate, Hulu Klang, menempuh detik cemas apabila bilik darjah mereka dinaiki banjir kilat susulan hujan di Lembah Klang, sejak awal pagi 15 Oktober.

“Komander operasi melaporkan banjir dianggarkan pada paras pinggang dewasa menaiki empat rumah dan sebuah Tabika.

“Penghuni rumah dan 21 murid serta empat guru dipindahkan ke balai penghulu berhampiran. Selain itu 10 kenderaan ditenggelami banjir setinggi 0.3 meter di Ukay Perdana,” katanya.

Satu kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter turut dilaporkan berlaku di kawasan lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati sekitar 11.30 pagi, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Keadaan banjir kilat semakin reda bermula tengah hari 15 Oktober dan jalan boleh dilalui, dengan pihak berkuasa giat menjalankan kerja pembersihan jalan dan premis yang terjejas.

Dalam pada itu, setakat 2 petang 15 Oktober, jumlah mangsa banjir di tujuh negeri meningkat kepada 4,463 mangsa daripada 1,410 keluarga yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa di Pahang melonjak kepada 1,357 orang; Perak (1,193); manakala Kedah menurun kepada 1,504 orang. Johor meningkat sedikit kepada 105 orang; Melaka (208); Selangor berkurang kepada 29 orang dan Sarawak kekal 67 orang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg