Menjelang hujung tahun bermula September lalu, beberapa kawasan dan negeri di Malaysia sudah mula dilanda banjir.
Peralihan daripada musim Monsun Barat Daya kepada musim Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh yang diramal berlarutan sehingga Mac 2025, menyaksikan beberapa negeri di utara dan selatan Malaysia mula ‘berpesta air’.
Kedah, Perlis, Perak, selain Pahang, Johor, Melaka dan Selangor, antara negeri terawal yang merasai tempias musim MTL ketika ini.
Setakat artikel ini ditulis, lebih 4,000 mangsa banjir di negeri-negeri terbabit telah dipindahkan untuk berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 4,619 kawasan ‘hotspot’ banjir di Malaysia sepanjang musim MTL, manakala fenomena La Nina (musim sejuk dan dingin) pula dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan lebat monsun berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan monsun.
Malah, dijangka terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung, Selatan dan Barat Sarawak serta Utara dan Timur Sabah.
Walaupun MTL mengakibatkan banjir di banyak negeri, banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini paling mendapat perhatian.
Manakan tidak, hujan lebat sejak pagi 15 Oktober menyebabkan banyak kawasan di ibu kota itu ‘lumpuh’, sehingga persidangan Dewan Rakyat (Parlimen) yang dijadual bermula 10 pagi terpaksa dilewatkan setengah jam kerana ramai Yang Berhormat terperangkap dalam banjir.
Apatah lagi kejadian yang bermula kira-kira 8.30 pagi itu berlaku ketika waktu puncak di mana ribuan warga kota dalam perjalanan ke tempat kerja. Maka berduyun kenderaan terkandas di satu-satu tempat kerana banyak jalan ditenggelami banjir.
Namun, keadaan mula pulih menjelang tengah hari 15 Oktober sebaik hujan mereda.
Kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk pelancong yang datang ke Malaysia boleh menyebabkan timbul kegusaran dalam kalangan mereka, apatah lagi ‘trauma’ ibu kota itu kesan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India yang mengorbankan seorang pelancong India masih segar di ingatan ramai.
Pendek kata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, insiden banjir kilat dan Kuala Lumpur bagai berpisah tiada. Semakin ‘nazak’ kah Kuala Lumpur sehingga bencana seperti ini semakin kerap berlaku?
Zamil Utama di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata tindakan mitigasi banjir yang dibuat selama ini hanya dapat mengurangkan risiko banjir di Kuala Lumpur dan bencana itu masih tetap boleh berlaku.
“Kuala Lumpur berada di dataran banjir, pertemuan antara Sungai Klang dengan Sungai Gombak, secara berkala, apabila hujan ekstrem di lembangan Sungai Klang – banjir sungai akan berlaku. Ditambah pula proses kawalan pembangunan yang tegas tidak dapat dilaksanakan, sehingga mengakibatkan banjir kilat.
“Kerja-kerja pemeliharaan alam sekitar juga lemah dan boleh menjadi penyebab banjir kilat,” katanya yang juga pakar Geobencana, Geologi Pemuliharaan dan Sains Kelestarian, kepada Berita Minggu (BM).
Menurut beliau setiap kali hujan lebat di lokasi tertentu, banjir kilat boleh berlaku dalam masa satu hingga dua jam, lazimnya disebabkan banyak permukaan telah diturap, sekali gus kuantiti air masuk ke parit dan longkang dengan kadar melampaui keupayaan parit menyalurkan air.
“Kadangkala, parit tersumbat dengan sampah sarap, banjir kilat senang berlaku. Ada kerja perataan tanah juga mengganggu sistem saliran dan boleh menyebabkan banjir kilat. Sekarang ini ramai yang suka salahkan perubahan iklim – hujan terlampau lebat lalu berlaku banjir,” katanya.
Pakar meteorologi dan Zamil Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudra, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah, pula berpandangan walaupun banjir kilat sering melanda Kuala Lumpur, secara asasnya ibu kota terutama struktur bangunan pencakar langitnya masih selamat.
“Banjir kilat hanya merosakkan harta benda dan tidak menjejaskan struktur bangunan pencakar langit. Isunya ialah parit-parit besar sudah dikambus untuk membesarkan jalan.
“Kawasan takungan yang ada seperti di Taman Muda sudah diguna tukar kepada perumahan. Jadi limpahan air ini hendak pergi ke mana? Lalu berlakulah banjir kilat,” katanya kepada BM.
Kata beliau untuk mengurangkan kerosakan harta benda, Malaysia boleh mencontohi Hong Kong yang mempunyai sistem amaran dan atur cara gred amaran bencana termasuk hujan lebat.
Untuk benar-benar menangani isu banjir kilat di Kuala Lumpur, ia memerlukan kaedah kejuruteraan bertahap tinggi seperti sistem Smart Tunnel yang berjaya diwujudkan di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Tetapi ini melibatkan kos tinggi melebihi berbilion ringgit.
Namun tegas beliau banjir kilat boleh dikurangkan lebih baik dengan mewujudkan kawasan tasik yang luas seperti yang ada di Putrajaya.
Dalam keadaan sekarang, warga Kuala Lumpur, malah negeri-negeri lain yang berdepan ancaman banjir perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan risiko bencana.
Bagi yang ingin bercuti ke Malaysia, rancanglah perjalanan dan percutian mengikut kesesuaian cuaca semasa. Banyakkan membuat rujukan dan semakan ramalan cuaca supaya tidaklah nanti terkandas dan terjejas mood untuk bergembira.
Elakkan mengunjungi kawasan pantai, hutan lipur, sungai mahupun air terjun buat masa ini demi keselamatan diri. Mencegah itu lebih baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg