12 tahun tragedi MH370: Harapan, rindu keluarga masih belum padam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 tahun tragedi MH370: Harapan, rindu keluarga masih belum padam

Mar 9, 2026 | 5:19 PM

12 tahun tragedi MH370: Harapan, rindu keluarga masih belum padam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
mh370, Intan Maizura Othaman, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan
Cik Intan Maizura Othaman (kiri), isteri kepada pramugara, Encik Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, yang hilang dalam tragedi MH370 pada 8 Mac 2014, bersama dua anak hasil perkahwinan mereka, Iman (kanan) dan Muhammad. - Foto INSTAGRAM INTAN MAIZURA

Walaupun sudah 12 tahun berlalu, harapan dan kerinduan ratusan anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang secara misteri pada 8 Mac 2014, masih belum pudar.

Cik Intan Maizura Othaman, isteri seorang pramugara yang berada di dalam pesawat malang itu, berkongsi luahan hatinya yang menyentuh hati melalui media sosial, pada 8 Mac, tarikh genap 12 tahun kejadian itu berlaku.

Menurutnya, kehilangan suaminya masih terasa seolah-olah baru berlaku semalam.

“Duka itu pelik. Ia tidak akan hilang begitu saja. Kita cuma belajar cara membawanya dengan cara yang berbeza,” katanya dalam luahan penuh kerinduan itu, yang disertakan gambar suaminya, Encik Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, bersama anak perempuan mereka, Iman, pada 2013.

Cik Intan yang juga pernah bekerja sebagai pramugari MAS selama 11 tahun menyifatkan suaminya bukan saja sebagai pasangan hidup, malah sahabat baiknya.

“Orang yang saya sangka akan menemani saya hingga tua dan beruban bersama.

“Tapi satu malam, awak pergi kerja… dan itu saja. Tiada ucapan selamat tinggal. Tiada penutup. Tiada apa-apa.

“Bahagian itu tidak pernah menjadi lebih mudah,” tulisnya di Instagram.

Walaupun dirundung kehilangan yang amat dalam, Cik Intan berkata beliau masih berusaha kuat dan meneruskan kehidupan, sambil mengenang kenangan manis bersama suaminya.

“Saya merindui awak setiap hari. Dalam perkara kecil, dalam saat sunyi, dalam gelak tawa yang mengingatkan saya pada awak. Awak tidak pernah jauh,” luahnya.

Cik Intan, 46 tahun, turut menzahirkan rasa simpati dan sokongan kepada semua keluarga mangsa MH370 yang masih menantikan jawapan.

“Kita mungkin tidak bercakap mengenainya setiap hari, tetapi kita membawanya setiap hari.

“Kita tahu bagaimana rasanya. Kita telah meneruskan kehidupan, tetapi kita tidak pernah melepaskannya dan masih mahukan jawapan,” ujar beliau.

Penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing 777, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014, hilang secara misteri daripada radar selepas hanya dua jam berlepas.

Pesawat itu yang dilaporkan terhempas di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi masih hilang sehingga kini.

Sementara itu Berita Harian Malaysia (BHM), melaporkan Cik Nurlaila Ngah @ Awang, 52 tahun, isteri pramugara kanan, Encik Wan Swaid Wan Ismail, mengakui rindu kepada suaminya tidak sesekali padam walaupun sudah 12 tahun kejadian itu berlaku.

Malah ada satu tempoh beliau tidak boleh makan atau melihat makanan kegemaran suaminya, iaitu tart nanas dan laksam.

Wanita itu yang pernah bertugas sebagai kru MAS sebelum ini, berkata bagi melepaskan rasa rindu itu, beliau akan mengunjungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya kini menetap di Nilai, Negeri Sembilan. Jadi, jarak dari rumah nak ke lapangan terbang tidak jauh. Kalau rindu, saya akan pergi ke lapangan terbang, saya akan ke anjung tinjau tengok kapal terbang, nak lepaskan rindu.

“Tetapi, apabila tengok kapal terbang pun saya menangis,” katanya sambil menambah trauma tragedi itu turut meninggalkan kesan kepadanya, rasa berdebar-debar setiap kali melihat kru penerbangan dan takut menaiki pesawat hingga kini.

Pada 9 Mac, BHM turut melaporkan perkembangan syarikat penerokaan laut dalam, Ocean Infinity, yang menjalankan operasi mencari MH370, telah menamatkan operasi pencarian terbaru pesawat itu di Lautan Hindi, tanpa menemui sebarang maklumat atau data baru berkaitan pesawat yang hilang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ocean Infinity, Encik Oliver Plunkett, berkata kapal syarikat itu secara rasmi meninggalkan zon pencarian pada 23 Januari lalu, dalam usaha terbaru menjejak MH370.

“Adalah penting bagi kami memanfaatkan setiap maklumat dan data yang ada serta kembali melakukan pencarian, namun walaupun dengan segala usaha itu, kami masih belum dapat menemuinya,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web syarikat itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg