Belum ada penemuan penting dalam fasa baru pencarian MH370 di Lautan Hindi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belum ada penemuan penting dalam fasa baru pencarian MH370 di Lautan Hindi

Jan 21, 2026 | 12:17 PM

Belum ada penemuan penting dalam fasa baru pencarian MH370 di Lautan Hindi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
MH370, pencarian, bangkai
Pencarian baru bangkai pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 8 Mac 2014, tidak membawa sebarang penemuan penting selepas pencarian dimulakan pada Januari 2026. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Fasa terkini operasi pencarian MH370 di dasar laut Lautan Hindi Selatan telah mencapai liputan tinjauan yang ketara, namun sehingga kini tiada penemuan penting atau hasil muktamad dikenal pasti.

Menurut Laporan Ringkasan Kemajuan Operasi Pencarian MH370 (6-15 January 2026) yang dimuat naik di Facebook Persatuan Keluarga Penumpang dan Anak Kapal MH370 (MH370 Families), operasi pencarian yang dijalankan di atas kapal Armada 8605 telah meliputi kawasan terkumpul kira-kira 7,236.40 kilometer persegi setakat 15 Januari 2026.

Laporan itu menyatakan bahawa aktiviti pencarian dijalankan di sektor Lautan Hindi Selatan dan menggunakan sehingga tiga Hugin Autonomous Underwater Vehicles (AUV), dengan operasi berjalan hampir tanpa gangguan antara 6 hingga 14 Januari.

Keadaan cuaca adalah menggalakkan bagi usaha tinjauan berterusan sehingga 14 Januari, sebelum operasi dihentikan pada 15 Januari akibat cuaca buruk. Ketiga-tiga AUV berjaya dikeluarkan dengan selamat dan dibawa naik ke atas Armada 8605.

“Operasi ini terus berkembang secara berperingkat dan teratur dalam kawasan pencarian yang telah ditetapkan, dengan hasil selanjutnya bergantung kepada kesinambungan tinjauan serta keadaan operasi yang menggalakkan,” menurut laporan itu, lapor Berita Harian Malaysia pada 20 Januari.

Berikutan tempoh lanjutan, Armada 8605 dijadualkan kembali ke Fremantle bagi pertukaran kru sebelum meneruskan aktiviti seterusnya.

Pada 3 April 2025, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity (Britain) untuk menyambung semula operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014, selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal, menjadi misteri terbesar dalam industri penerbangan dunia.

Sebelum ini Ocean Infinity pernah mengetuai pencarian itu pada 2018, tetapi tidak berjaya sebelum mereka bersetuju melancarkan pencarian baru pada 2026.

Fasa baru ini, yang dijangka berlangsung sehingga 55 hari, menggunakan data satelit terkini, pemodelan hanyutan dan analisis pakar.

Pencarian itu menyusuli keputusan Jemaah Menteri Malaysia pada Mac 2025 yang bersetuju terhadap terma dan syarat perjanjian bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370 membabitkan Ocean Infinity.

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata keputusan berkenaan membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baru yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘tiada jumpa, tiada bayaran’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg