Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

13 individu ditahan bawah akta cegah pengganasan di M’sia

Dec 13, 2024 | 10:27 AM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Seramai 13 individu berusia 18 tahun ke atas ditahan mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan dikenakan Perintah Tahanan dalam tempoh enam tahun lalu sejak 2018.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jumlah itu turut membabitkan penahanan empat individu bukan warganegara.

Beliau berkata prosedur perundangan mengikut Pota 2015 membabitkan satu perintah tahanan atau sekatan yang diberikan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan.

“Pada 2018, enam individu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita ditahan. Tiga daripadanya adalah warganegara dan tiga lagi bukan warga Malaysia.

“Bagi 2019 pula, tiga lagi individu ditangkap yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita. Dua daripada mereka adalah warganegara dan seorang bukan warganegara,” katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu tangkapan pada 2021, membabitkan seorang wanita rakyat Malaysia, manakala bagi 2022 pula, hanya merekodkan tangkapan seorang warganegara lelaki.

Dalam perkembangan berasingan, hampir 500 pegawai penguat kuasa di Malaysia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terbabit rasuah sejak Januari 2020 hingga September 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam tempoh berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 8,067 maklumat membabitkan agensi penguat kuasa yang meliputi pelbagai kesalahan.

Beliau berkata daripada keseluruhan maklumat, sebanyak 4,972 maklumat adalah berunsur rasuah dan 3,095 adalah maklumat yang tidak berunsur rasuah.

“Daripada maklumat berunsur rasuah, sebanyak 1,192 kertas siasatan telah dibuka dan selebihnya iaitu 3,780 diambil tindakan lain seperti tindakan perisikan dan lain-lain tindakan operasi.

“Sepanjang tempoh yang sama SPRM telah membuat sebanyak 485 tuduhan dan 238 telah disabitkan kesalahan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Padang Terap (Kedah), Encik Nurul Amin Hamid, mengenai jumlah kes siasatan dan dakwaan terhadap unsur rasuah pegawai penguat kuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan sejak 2018.

Datuk Azalina berkata daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka melibatkan agensi penguat kuasa, sebanyak 104 adalah berkaitan penyeludupan yang membawa kepada 154 tangkapan dan 54 tuduhan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg