Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai imigresen M’sia di sempadan dengan S’pura akan guna kamera badan atasi rasuah

Dec 2, 2024 | 3:10 PM
Semua pegawai barisan hadapan Jabatan Imigresen Malaysia terutama di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, akan menggunakan kamera badan tidak lama lagi, dalam usaha menangani gejala rasuah.
Semua pegawai barisan hadapan Jabatan Imigresen Malaysia terutama di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, akan menggunakan kamera badan tidak lama lagi, dalam usaha menangani gejala rasuah. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Petugas barisan hadapan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), terutama di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, akan dilengkapi kamera badan tidak lama lagi, bagi membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata cadangan tersebut adalah antara nilai tambah perkhidmatan agensi itu, selain penggunaan kod respons pantas (QR) di pintu masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), bagi menangani dakwaan rasuah.

“Memang KDN (Kementerian Dalam Negeri) dalam perancangan untuk menyediakan kamera badan bagi petugas kita di kaunter pintu masuk utama, terutama di KSAB dan BSI, di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya di Parlimen Malaysia, pada 2 Disember, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelutong, Pulau Pinang, Encik RSN Rayer, mengenai usaha menangani rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai Imigresen, susulan isu bayaran tambahan pembalut plastik pasport di Johor Bahru.

Datuk Shamsul Anuar berkata pembelian pembalut pasport di kaunter imigresen adalah satu pilihan bagi pelanggan.

“Berhubung isu yang dibangkitkan, sama ada pegawai (imigresen) dibenarkan menjual pembalut plastik pasport, penjualan pembalut plastik itu adalah pilihan kepada pelanggan, terpulanglah kepada pelanggan itu,” katanya.

Pada 30 November, media Malaysia melaporkan seorang penuntut universiti berusia 23 tahun mendakwa terpaksa membuat transaksi RM5 ($1.50) ke akaun bank peribadi pegawai imigresen, selepas diarahkan menuntut pasport yang diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Galleri@Kotaraya, Johor Bahru.

Pelajar itu mendakwa seorang pegawai imigresen wanita meminta bayaran tambahan RM5.

Sementara itu, JIM Johor mengesahkan bayaran RM5 dikenakan kepada penuntut terbabit bagi pembalut plastik pasport dan siasatan dalaman menyeluruh sedang dijalankan berhubung isu itu.

Dalam perkembangan lain, Datuk Shamsul Anuar berkata hingga November 2024, pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia mencatat bilangan tertinggi seramai 12,588 orang, diikuti Bangladesh (7,822) dan Myanmar (7,112 orang).

Seramai 41,234 Pati dan 1,607 majikan ditahan di seluruh Malaysia atas pelbagai kesalahan imigresen dari Januari hingga November 2024.

“Setakat 1 Januari hingga 14 November 2024, JIM melaksanakan 17,825 operasi penguatkusaan dengan tangkapan seramai 41,234 Pati, yang mana seramai 1,607 majikan juga ditangkap kerana pelbagai kesalahan termasuk melindungi pekerja asing tanpa permit,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg