Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

14,000 mangsa banjir di 6 negeri di M’sia, Pahang terjejas teruk

Dec 19, 2025 | 1:27 PM
Malaysia, Pahang, banjir
Antara kawasan petempatan di Kuantan, Pahang, yang ditenggelami banjir, memaksa lebih 13,000 penduduk berpindah ke pusat perlindungan. - Foto BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di enam negeri di Malaysia terus meningkat sehingga mencecah 15,000 orang daripada hampir 5,000 keluarga yang kini berlindung di 110 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut maklumat terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 11 pagi, 19 Disember, Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan lebih 13,000 orang dari daerah Kuantan, Maran, Rompin, Pekan, Jerantut dan Lipis.

Di Terengganu pula, lebih 700 mangsa berpindah, manakala Johor menyaksikan jumlah mangsa yang tidak banyak berubah, berbanding 18 Disember dengan sekitar lebih 300 penduduk masih berlindung di PPS dekat daerah Mersing.

Kelantan, Selangor dan Sarawak pula hanya mencatatkan sebilangan kecil mangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Kerajaan Madani melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyelaras tindakan segera bersama agensi berkaitan bagi mengawal paras air dan mengurangkan risiko banjir.

Ini katanya termasuk hebahan awal khidmat pesanan ringkas (SMS) kecemasan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penyaluran bantuan kebajikan dan keperluan asas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta operasi pam kecemasan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Malah situasi banjir ini akan terus dipantau rapi serta bantuan disalurkan sebaik dan secepat mungkin.
Saya amat terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini serta nasib mangsa terjejas.

“Rakyat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS apabila diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menziarah mangsa banjir di PPS dekat Pahang.

Beliau juga memaklumkan cadangan supaya jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang disumbangkan kepada mangsa banjir dinaikkan daripada RM1,000 ($316) untuk setiap isi rumah ketika ini, akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Datuk Ahmad Zahid mengakui tindakan itu wajar kerana peningkatan kos sara hidup kini.

“Bantuan untuk mangsa banjir sebelum ini hanya RM500 bagi setiap isi rumah dan dinaikkan kepada RM1,000 pada 2021.

“Saya bersetuju membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet dan akan mengemukakan cadangan itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Encik Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin melawat bandar Hat Yai agar menangguhkan perjalanan sehingga proses pembersihan pascabanjir di Wilayah Songkhla selesai, serta premis makanan dan pusat tumpuan pelancong dibuka semula sepenuhnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg