Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

147 pegawai, anggota polis M’sia dipecat pada 2024 ekoran salah laku

Jan 2, 2025 | 2:15 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

MELAKA: Seramai 147 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja pada 2024, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad.

Beliau berkata kebanyakan dalam kalangan mereka terbabit dengan isu narkotik dan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Kebanyakannya apabila saringan pertama air kencing positif, sampel kedua dihantar kepada patologis hospital dan mengesahkan positif, baru kita tuduh di mahkamah.

“Keputusan perbicaraan itu, apabila sabit (kesalahan) tindakannya adalah buang kerja,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah kepada pemangkunya Datuk Md Nazri Zawawi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada 2 Januari.

Datuk Azri berkata PDRM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dengan salah laku kerana pasukan itu merupakan pelindung kepada masyarakat.

“Jangkaan daripada masyarakat tinggi (terhadap PDRM) dan kami pula berusaha (untuk kekalkan disiplin pegawai dan anggota)... yang tidak sesuai berada dalam PDRM, kami akan singkirkan,” ujarnya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, seorang anggota polis wanita ditahan selepas positif dadah ketika serbuan Ops Hiburan sempena ambang sambutan Tahun Baru di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada 1 Januari.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Lazim Ismail, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menjalankan operasi itu pada 2 pagi sebelum menahan anggota polis terbabit berusia 26 tahun.

Menurutnya, anggota terbabit sedang bercuti sebelum melaporkan diri di Kontinjen Johor dan dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan awal ke atas suspek mendapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Januari.

Beliau berkata suspek direman dua hari bagi membantu siasatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg