Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

19 jam keluarkan pemandu lori maut kemalangan dalam gaung di Sabah

Jan 24, 2025 | 12:07 PM
Keadaan kemalangan lori yang menyebabkan pemandunya maut akibat tertimbus tanah pada 24 Januari di Kampung Nabutan, Ranau, Sabah.
Keadaan kemalangan lori yang menyebabkan pemandunya maut akibat tertimbus tanah pada 24 Januari di Kampung Nabutan, Ranau, Sabah. - Foto NSTP

RANAU (Sabah): Usaha menyelamatkan seorang pemandu lori yang membawa muatan tiang elektrik mengambil masa hampir 19 jam selepas treler yang dipandunya itu terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kampung Nabutan dekat Ranau, Sabah, pada pagi 23 Januari.

Bagaimanapun mangsa, Encik Mohd Raziman Sahrin, 30 tahun, yang berjaya dikeluarkan pada 2.50 pagi 24 Januari, disahkan meninggal dunia akibat ditemukan tertimbus dengan tanah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Encik Ridwan Mohd Taib, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.41 pagi dan ketika tiba di lokasi, didapati sebuah treler dengan muatan tiang elektrik jenis konkrit terbabas dan terjunam ke gaung.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu tertimbus di bawah treler. Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan kaedah mengorek tanah menggunakan peralatan khas, namun gagal.

“Pasukan bomba terpaksa menunggu bantuan kren dari Kota Kinabalu, Sabah, dan ia tiba kira-kira 6 petang. Kerja-kerja mengangkat treler itu dijalankan tetapi tidak berjaya dengan tiga kali percubaan,” katanya lapor Harian Metro.

Menurutnya, pada 7.50 malam, teknik diubah dengan mengalihkan tiang-tiang elektrik sebanyak 60 hingga 70 batang.

“Seterusnya pasukan bomba dengan kaedah mengorek timbunan tanah menggunakan peralatan khas akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.50 pagi tadi (24 Januari), namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan di Kota Tinggi, Johor, pada 23 Januari, seorang pemuda maut, manakala bapanya cedera, selepas lori yang dinaiki terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan di Kilometer 61.7 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Johor.

Kemalangan kira-kira 11.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Encik Izzuddin Nor Zaki Afandi, 23 tahun, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan lori dan sebuah kereta berhampiran kolam pancing udang harimau.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit, Johor, terbabas dan terjunam ke dalam gaung selepas mengelak sebuah lori dari arah bertentangan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg