Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagi 2 nahas akibat tayar lori tercabut di Kedah, Perak

Jan 21, 2025 | 2:07 PM
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan akibat kemalangan yang berpunca daripada tayar lori tercabut di Manjung, Perak, pada 20 Januari.
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan akibat kemalangan yang berpunca daripada tayar lori tercabut di Manjung, Perak, pada 20 Januari. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima cedera selepas terbabit kemalangan akibat tayar lori tercabut dalam dua kejadian berasingan di Kedah dan Perak.

Dalam kejadian di Manjung, Perak, kira-kira 8.40 malam pada 20 Januari, empat cedera selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh tayar lori tangki minyak yang tercabut di Kilometer 199 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, dekat Sitiawan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam satu kenyataan menyatakan kejadian itu membabitkan tiga kereta dan kemalangan berlaku selepas tiga kenderaan terbabit merempuh tayar kiri lori tangki minyak yang tercabut di laluan berkenaan.

“Empat mangsa yang cedera berusia antara tiga hingga 36 tahun menaiki kereta Toyota Yaris, manakala dua lagi mangsa yang menaiki kereta Honda Civic dan Mercedes tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Wanita berusia 36 tahun di tempat duduk hadapan Toyota Yaris tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba yang menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas,” katanya lapor Harian Metro.

Dalam satu kejadian lain kira-kira 1 petang pada 20 Januari di Simpang Kuala, Sungai Daun, dekat Yan, Kedah, seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di kaki dan paha selepas dihentam tayar lori yang tercabut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Penolong Pesuruhjaya Musa Rabien berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di bahagian belakang bonet kereta Proton Iswara miliknya di bahu jalan di kawasan kejadian.

“Pada masa sama, sebuah lori membawa muatan sekam padi dari arah Batas Paip (Kedah) ke Yan melalui kawasan itu sebelum tiba-tiba satu daripada tayar di belakang lori itu tercabut dan bergolek ke arah mangsa,” katanya.

Menurut Encik Musa, akibat jarak yang dekat mangsa tidak sempat mengelak sebelum tayar berkenaan terkena pada bahagian kaki dan paha mangsa menyebabkan beliau mengalami kecederaan.

Insiden kemalangan akibat tayar lori tercabut semakin kerap berlaku di Malaysia.

Pada 23 Disember 2024 lalu, tujuh terkorban, manakala 33 lagi cedera dalam dalam kemalangan yang berpunca daripada tayar lori tercabut, membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah lori, treler, kereta dan kenderaan pelbagai guna di Ayer Keroh, Melaka.

Seorang wanita yang juga penumpang bas warga Singapura, Allahyarhamha Lamrah Asid Ali, 66 tahun; lima sekeluarga dan seorang pemandu bas maut di tempat kejadian dalam nahas ngeri itu.

Menyusuli itu pihak berkuasa Malaysia mempergiatkan operasi dan pemeriksaan terhadap kenderaan berat dan perdagangan, sehingga membawa kepada penyiasatan dalang dan sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan secara tidak beretika membabitkan pegawai pemeriksa kenderaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg