Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa empat surat derma Arab yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, untuk pembelaannya dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion ($727 juta) dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), adalah palsu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya pada 26 Disember, berkata salinan asal surat berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah.
Malah ketika membacakan keputusan mahkamah itu Hakim Datuk Collin berkata pihak pembelaan bekas Presiden Umno itu tidak pernah membuat sebarang pengesahan bahawa dana itu benar-benar diterima daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.
Hakim Datuk Collin juga menambah, jejak transaksi menunjukkan dana berkenaan disalurkan melalui syarikat persendirian pihak ketiga, iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore, yang dimiliki Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
“Adalah sesuatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu, sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.
“Mahkamah mendapati pembelaan derma dari Arab tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Dalam pada itu, mahkamah juga memutuskan terdapat bukti bahawa Encik Najib dan Jho Low saling mengenali dan ia diperkuatkan dengan kepercayaan pengurusan tertinggi 1MDB untuk mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan itu, yang dipercayai sebagai arahan daripada Encik Najib.
“Terdapat bukti hubungan mereka melalui gambar yang diambil ketika percutian.
“Adalah sesuatu yang melangkaui batasan imaginasi untuk beranggapan pengurusan tertinggi menimbangkan arahan Jho Low berkaitan urusan 1MDB yang membabitkan jumlah dana yang amat besar (kecuali) jika mereka benar-benar percaya Jho Low bertindak atas arahan tertuduh,” katanya.
Hakim Datuk Collin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, namun beliau menyampaikan keputusan terakhir kes 1MDB itu sebagai hakim Mahkamah Tinggi dari Istana Kehakiman Putrajaya.
Prosiding mahkamah yang bermula sejak pagi dihentikan seketika pada tengah hari dan Encik Najib dibawa semula ke Penjara Kajang, di Selangor, untuk solat Jumaat.
Walaupun prosiding akan disambung semula pada 3 petang, puluhan penyokong Encik Najib yang tiba sejak pagi setia menanti sehingga prosiding selesai.
Encik Najib, 72 tahun, mula didakwa atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion.
Kes skandal kewangan berprofil tinggi yang mendapat perhatian dunia itu telah menjalani 302 hari perbicaraan dalam tempoh tujuh tahun, dengan seramai 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan telah memberi keterangan di mahkamah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg