Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia bawa pulang 12 lukisan 1MDB bernilai RM140j

Dec 22, 2025 | 1:00 PM
Malaysia, 1MDB, lukisan, artwork
‘L’ecuyere Et Les Clowns’ (The Horsewoman and the Clowns) 1961 karya Pablo Picasso, merupakan antara 12 lukisan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan dibawa pulang ke Malaysia. - Foto ARTSY GALLERY

KUALA LUMPUR: Sejumlah 12 lukisan yang terbabit dalam usaha pemulihan aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika ini dalam perjalanan pulang ke Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Ketika ini, difahamkan Malaysia sedang menilai kos logistik untuk membawa semua lukisan pelukis terkenal bernilai lebih AS$30 juta, iaitu bersamaan RM140 juta ($38.7 juta).

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata lukisan itu tidak boleh dibawa balik begitu saja kerana perlu dijaga mutunya, khususnya bagi tujuan penjualan semula.

Persiapan ketika ini sedang dilakukan sebaiknya oleh kedua-dua pihak untuk memastikan lukisan itu selamat sampai ke Malaysia.

“Kita ketika ini sedang menilai kos untuk membawa pulang lukisan-lukisan yang amat bernilai tinggi ini.

“Lukisan-lukisan ini penting untuk kedaulatan negara, jadi ia perlu dijaga sebaiknya, termasuk proses membawa pulang ke Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM), pada 22 Disember.

Pada pertengahan Disember, 12 lukisan bernilai lebih AS$30 juta dipersetujui dikembalikan kepada Malaysia sebagai sebahagian usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.

Ia antara perkara utama dibincangkan SPRM bersama Biro Penyiasatan Federal (FBI) serta Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat di Washington dan New York, masing-masing pada 9 dan 11 Disember lalu.

SPRM melalui kenyataan memaklumkan usaha mengembalikan lukisan bernilai tinggi itu yang dibeli saksi kes penyelewengan 1MDB, Jasmine Loo, kini berada di bawah kawalan DOJ Amerika.

Dianggarkan 12 lukisan milik Loo dipegang Christie’s dan Sotheby’s Auction House Amerika, antaranya L’Ecuyere et les clowns, Pablo Picasso (1961); Composition, Joan Miro (1953); Still Life, William H. Bailey (1930); Studies for Sculpture, Alexander Calder (1898–1976); dan Femme Assise, Henri Matisse (1869–1954), yang kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta.

Perbincangan dua hala di Washington dan New York diketuai Datuk Mohamad Zamri, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, dan Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara (AGC), Cik Norinna Bahadun.

Mesyuarat bersama FBI dipengerusikan Ketua Seksyen, Encik Spencer Horn Chris Padurano (Washington), manakala perbincangan di New York dipengerusikan Pembantu Ejen Khas Bertugas, Encik Paul Roberts.

Sesi perbincangan antara lain bertujuan mengeratkan kerjasama di peringkat sedunia antara dua agensi penguatkuasaan.

Tambah SPRM lagi, perbincangan juga berkisar isu penyanyi rap Pras Michel di Amerika yang dijatuhi hukuman 14 tahun penjara kerana menerima AS$120 juta, yang mana sebahagiannya berkaitan 1MDB dan shell companies (syarikat-syarikat atas kertas) 1MDB.

Pihak DOJ Amerika, menurut kenyataan itu, juga memaklumkan masih terdapat aset milik individu dalam buruan, Jho Low, di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian Amerika.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg