Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1MDB tarik balik saman terhadap anak tiri Najib

Feb 25, 2025 | 11:21 AM
Encik Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak.
Encik Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak. - Foto fail

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menarik balik saman terhadap Encik Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, yang didakwa menyalahgunakan sebanyak AS$248 juta ($331.8 juta) dana untuk membiayai produksi filem dan membeli pelbagai hartanah.

Peguam Rabindra S Nathan, yang mewakili 1MDB dan tiga anak syarikatnya, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa beliau menerima arahan untuk menarik balik kes terbabit terhadap semua defendan.

Peguam Encik Riza Shahriz, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau tidak membantah perkara itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan kemudian memerintahkan pihak-pihak yang terbabit untuk mengemukakan hujah mengenai kos dan menetapkan 28 Februari untuk memutuskan perkara terbabit.

Perbicaraan bermula pada 16 Oktober 2024 dengan plaintif – 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited – memanggil tiga saksi termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB Cik Jasmine Loo Ai Swan, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, untuk memberi keterangan.

Pada Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Encik Riza Shahriz, Red Granite Pictures Inc, dan Red Granite Capital Ltd kerana didakwa menerima sekitar AS$248 juta dana yang disalahgunakan untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk membiayai sebuah filem dan membeli pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa Encik Riza Shahriz menyalahgunakan dana mereka daripada peniaga yang diburu polis, Jho Low, atau bertindak dengan cuai dan tidak bertanggungjawab dengan gagal membuat pertanyaan yang relevan mengenai sumber dana terbabit.

Oleh itu, plaintif meminta pengisytiharan bahawa Encik Riza Shahriz bertanggungjawab ke atas dana yang disalahgunakan tersebut, dan dengan itu, mereka menuntut bayaran semula.

Dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 2021, defendan mendakwa telah memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menghasilkan beberapa filem di Amerika Syarikat.

Ditemui pemberita selepas prosiding, seorang lagi peguam Encik Riza Aziz, Encik Muhammad Farhan Muhammad Shafee, memberitahu pemberita bahawa saman itu ditarik balik susulan keterangan saksi defendan iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Beliau menyatakan satu representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara agar suatu penyelesaian secara global dapat dicapai dalam kes saman ini.

Datuk Mohamad Zamri menerusi pernyataan saksinya berkata Jabatan Peguam Negara telah bersetuju dengan representasi itu dan merekodkan penghakiman persetujuan di Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Mei 2020 sebagai penyelesaian global dalam kes saman itu.

Pada 14 Mei 2020, Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan Encik Riza Shahriz daripada lima tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta, didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg