Bekas perdana menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas semua 25 tuduhan membabitkan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion ($690 juta) yang dihadapinya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan demikian pada 30 Oktober, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie (cukup bukti) terhadap Encik Najib.
Datuk Sequerah dalam keputusannya pada akhir kes pendakwaan berkata tuduhan yang dikenakan ke atas Encik Najib yang dilakukan ketika beliau memegang jawatan perdana menteri dan menteri kewangan tidak kabur, sah dan tidak cacat.
Beliau berkata Encik Najib tidak dikelirukan serta tidak diprejudiskan berhubung kesalahan berkenaan.
Encik Najib yang diberi tiga pilihan untuk membela diri kemudian memilih untuk memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.
Bekas presiden Umno yang sedang menjalani hukuman penjara itu menghadapi empat tuduhan kes salah guna kuasa kedudukan untuk suapan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Beliau ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada 28 Julai 2020 memutuskan beliau bersalah terhadap tuduhan berkait dana SRC International bernilai RM42 juta.
Berita penuh menyusul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg