Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes 1MDB: Najib salahkan CEO, pengurusan 1MDB punca kerugian

Dec 4, 2024 | 3:51 PM
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (belakang kanan) hadir perbicaraan bagi membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi peroleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram, pada 4 Disember.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (belakang kanan) hadir perbicaraan bagi membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi peroleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram, pada 4 Disember. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan dengan kerugian RM1 bilion ($300 juta) dialami 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui usaha sama dengan PetroSaudi International Limited (PSI).

Encik Najib yang juga mantan Menteri Kewangan, berkata individu yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas kerugian dialami syarikat strategik Malaysia itu menerusi usaha sama dengan PSI ialah pihak pengurusan 1MDB, khususnya mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Ini kerana katanya pasukan dan pengurusan syarikat 1MDB yang bersedia untuk memeterai usaha sama itu pada September 2009.

Dakwa Encik Najib, bukti dokumen jelas menunjukkan bahawa dalang utama penyelewengan 1MDB adalah Datuk Shahrol, pengurusan 1MDB yang lain serta ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Encik Najib mendakwa Datuk Shahrol mengingkari arahan Lembaga Pengarah 1MDB dan bersekongkol dengan Jho Low serta pengurusan lain untuk menggelapkan dana AS$700 juta ($941 juta) yang sepatutnya digunakan bagi usaha sama dengan PSI.

“Bukankah dia (Datuk Shahrol) sangat bernasib baik kerana saya yang dituduh? Jika saya bukan bekas Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan, saya yakin beliau bukan di kandang saksi, tetapi di kandang tertuduh,” kata Encik Najib, lapor Malaysia Gazette.

Encik Najib berkata demikian ketika membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram, pada 4 Disember.

Pada 2009, sebanyak AS$700 juta daripada AS$1 bilion dana 1MDB yang diperuntukkan untuk usaha sama dengan PSI didakwa telah dialihkan ke akaun entiti luar pesisir Good Star Limited, yang dikaitkan dengan Jho Low.

Menurut Encik Najib, beliau juga tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana arahan yang diberikan kepada Lembaga Pengarah supaya meluluskan resolusi untuk menyertai usaha sama PSI, atau mana-mana dakwaan jenayah.

“(Datuk) Shahrol Azral tidak pernah diberi kuasa untuk memeterai perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited kerana ia bertentangan langsung dengan resolusi Lembaga Pengarah pada 26 September 2009.

“Sebenarnya (Datuk) Shahrol yang tidak sabar menandatangani perjanjian usaha sama yang merugikan. Alasan kononnya pemindahan AS$1 bilion kerana percaya arahan itu daripada saya adalah tidak masuk (akal) kerana bercanggah dalam dokumen,” ujarnya.

Menurut Encik Najib, dakwaan itu juga lebih bermotifkan politik serta merosakkan kredibilitinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg