PUTRAJAYA: Dua anak mantan perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion ($360 juta), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepadanya, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Encik Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.
Katanya, pengisytiharan harta itu antaranya membabitkan pegangan aset dan saham.
“Kedua-dua mereka mematuhi permintaan saya dan juga keputusan penyiasat untuk mengisytiharkan harta yang mereka miliki termasuk juga pegangan aset, saham dan sebagainya.
“Jadi saya berpuas hati dengan pengisytiharan harta berkenaan oleh kedua-duanya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Tan Sri Azam berkata melalui pengisytiharan harta itu, jumlah aset keseluruhan Tan Sri Mokhzani bernilai kira-kira RM1 bilion dengan aset peribadi sebanyak RM360 juta.
Encik Mirzan pula jumlah asetnya adalah sebanyak RM246.2 juta dengan aset peribadi sebanyak RM120 juta.
“Ada berbentuk aset, ada juga dalam pegangan saham dan sebagainya yang kita ambil kira serta menolak liabiliti yang mereka tanggung.
“Jadi, persepsi ini saya kena betulkan kerana kadang-kadang kami dihujani dengan pelbagai soalan mengatakan adakah betul mengenai pemilikan harta (mereka),” katanya.
Tan Sri Azam menegaskan semua data berkenaan adalah daripada pegawai forensik SPRM serta beberapa penilaian terhadap jumlah aset yang diisytiharkan oleh mereka.
“Ini adalah mengenai pengisytiharan harta, namun siasatan membabitkan kedua-dua mereka masih diteruskan,” katanya.
Terdahulu media Malaysia melaporkan SPRM memanggil kededua anak mantan perdana menteri sebanyak dua kali itu bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, juga dikenali sebagai Kertas Panama.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Azam berkata SPRM masih menjalankan siasatan membabitkan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isteri, Toh Puan Naimah Abdul Khalid, termasuk daripada aspek mengesan asetnya di luar negara.
Siasatan itu berdasarkan petunjuk ada aset luar negara perlu dikesan berhubung kes berkenaan.
“Hasil kerjasama dengan beberapa pihak daripada luar negara yang menunjukkan indikatornya itu menunjukkan ada aset di luar negara yang perlu kita kesan.
“Sekiranya ada kesalahan, kami akan membuat permohonan untuk mendapatkan kembali wang berkenaan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg