2 bekas panglima tentera didakwa salah guna kuasa, ubah wang haram
2 bekas panglima tentera didakwa salah guna kuasa, ubah wang haram
KUALA LUMPUR: Dua bekas panglima tentera Malaysia didakwa di mahkamah pada 23 Januari, atas tuduhan salah guna kuasa, menerima suapan dan pengubahan wang haram.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan. Beliau dituduh menggunakan kedudukan untuk suapan, menerima wang berjumlah RM752,482 ($239,134), serta pecah amanah dana RM3 juta.
Tan Sri Mohd Nizam, 60 tahun, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat memohon dibicarakan terhadap semua empat tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, lapor Berita Harian Malaysia.
Dua pertuduhan salah guna kedudukan itu berkait peranannya sebagai Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM267,481 dengan melantik syarikat Sinar Bakti Global bagi kerja ‘Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM468,000.
Pertuduhan kedua pula mendakwa Tan Sri Mohd Nizam menggunakan kedudukan sebagai AKSPA ATM merangkap Pengerusi TKAT untuk suapan RM285,000, melalui pelantikan QMZ Resources bagi kerja ‘Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM600,000.
Kedua-dua salah laku itu didakwa berlaku di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024.
Bagi tuduhan ketiga, Tan Sri Mohd Nizam selaku AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang TKAT berjumlah RM3 juta.
Manakala bagi tuduhan keempat, beliau didakwa menerima wang RM200,000 tanpa balasan daripada Pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd, Wan Shafie Abdul Rashid, semasa menjadi PAT ATM. Tertuduh tahu mungkin berkaitan dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.
Hakim Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM180,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mac.
Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram, berjumlah keseluruhan RM145,000.
Tan Sri Muhammad Hafizuddeain, 58 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap tuduhan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, bekas pegawai tertinggi ATM itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke akaun bank miliknya, antara 19 September hingga 28 November 2024 serta 19 Mei 2025.
Sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 30 Mac depan.
Beliau menjadi PTD pertama didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Pada 22 Januari di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah terhadap atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.
Isteri ketiganya, Cik Salwani Anuar, 27 tahun, pula didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000.

