Kes pengubahan wang haram: Bekas Panglima Tentera, isteri mengaku tidak bersalah
Kes pengubahan wang haram: Bekas Panglima Tentera, isteri mengaku tidak bersalah
Muhammad Hafizuddeain hadapi 4 tuduhan terima wang hasil aktiviti haram libatkan dana lebih RM2.12j
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Malaysia, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dan isteri ketiganya, Cik Salwani Anuar @ Kamaruddin didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada 22 Januari, dengan masing-masing empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.
Tan Sri Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram melibatkan dana lebih RM2.12 juta ($670,000).
Beliau yang berusia 58 tahun kelihatan tenang sepanjang prosiding dan mohon dibicarakan terhadap semua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dengan 7 November 2025, di hadapan Hakim Azura Alwi.
Tan Sri Muhammad Hafizuddeain ialah PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau yang menghantar surat untuk bersara daripada perkhidmatan tentera bermula 1 Januari lalu (2026), didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000, yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dua bank di tiga lokasi berbeza, iaitu di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 2 Februari 2024 dengan 7 November 2025.
Tan Sri Muhammad Hafizuddeain didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Hakim Azura kemudian membenarkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin (setiap seorang RM125,000) dan menetapkan pada 30 Mac ini bagi tarikh sebutan kes.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan, iaitu tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali sebulan dan pasportnya diserah simpan oleh mahkamah sehingga kes selesai.
Sementara itu, Cik Salwani Anuar @ Kamaruddin, juga mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000.
Cik Salwani, 27 tahun, yang berkerusi roda di mahkamah, memohon dibicarakan terhadap semua tuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bagi empat tuduhan itu, Cik Salwani, yang juga isteri ketiga Tan Sri Muhammad Hafizuddeain, didakwa sebagai pengawal syarikat Wany Venture dan menerima hasil aktiviti haram.
Ia masing-masing melibatkan RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000, yang dimasukkan ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad, milik syarikat berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bank CIMB Cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II, di sini antara 24 November 2024 dengan 25 November 2025.
Beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

