KOTA MARUDU (Sabah): Tiga mangsa termasuk dua beranak rentung, manakala tiga lagi dilaporkan cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Blok 5, Pitas di sini, awal pagi 1 Ogos.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Encik Abdul Malik Mad Tasin berumur 50-an tahun serta anak perempuannya, Nur Adriana Qistina Abdul Malik, 11 tahun, dan seorang lelaki warga emas bernama Encik Salleh Onding, berusia 60-an tahun.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday, berkata tiga yang cedera pula membabitkan mangsa perempuan, termasuk dua lagi anak Encik Abdul Malik.
Menurutnya, mangsa yang terkorban dan mengalami kecederaan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.19 pagi sebelum sembilan anggota serta pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan I Asman Omar digerakkan ke tempat kejadian.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang musnah sepenuhnya.
“Turut terbakar ialah dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja,” katanya ketika dihubungi pada 1 Ogos.
Beliau berkata Nur Adriana Qistina ditemui rentung di ruang tamu kediaman terbabit, diikuti Encik Abdul Malik di bahagian dapur dan Encik Salleh di bilik mandi.
“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi yang mengalami kecederaan ringan pula telah dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam,” katanya.
Beliau berkata kerja pemadaman kebakaran itu dilaksana menggunakan satu aliran dengan sumber air dari jentera dan api berjaya dikawal pada 3.25 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.36 pagi tadi.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg