KUALA LUMPUR: Dua beradik meninggal dunia selepas bilik sewa yang didiami mereka di Melaka terbakar, manakala seorang ibu hamil merupakan antara tiga yang maut dalam satu kemalangan jalan raya di Terengganu.
Dalam kejadian di Banda Hilir, Melaka, Nuralia Karisa Abdullah, 12 tahun, dan adiknya, Nur Riaisha Zahra, dua tahun, maut selepas bilik sewa mereka Plaza Mahkota terbakar kira-kira 1.30 tengah hari pada 11 Julai. Kebakaran turut menyebabkan ibu mereka Cik Azliha Ngah Ariffin, 40 tahun, kritikal.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Penolong Pesuruhjaya Christopher Patit, berkata dua beradik itu meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Melaka (HM) kerana dipercayai lemas terhidu asap tebal kebakaran, manakala ibu mereka masih dirawat di hospital yang sama.
Encik Patit berkata berdasarkan siasatan awal, saksi kejadian iaitu sepasang suami isteri menyedari kebakaran itu apabila asap tebal memasuki ruang bilik mereka di tingkat dua bangunan berkenaan.
Katanya, mangsa terus keluar bersama isterinya untuk menyelamatkan diri dan dihantar ke HM untuk rawatan dan dilaporkan stabil.
“Bagaimanapun tiga beranak itu yang terperangkap dalam sebuah bilik di tingkat tiga dikeluarkan oleh anggota bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke HM.
“Bagaimanapun, dua beradik itu disahkan meninggal dunia, manakala ibu mereka masih kritikal,” katanya lapor Harian Metro.
Sementara itu dalam kemalangan ngeri di Kuala Nerus, Terengganu, seorang ibu hamil serta dua lagi yang lain maut, selepas kereta Nissan Navara bertembung dengan pikap di Jalan Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu.
Dalam kejadian 9.15 malam 11 Julai, mereka yang maut ialah penumpang Nissan Navara, Allahyarham Zaini Ambak, 46 tahun, dan dua lagi mangsa adalah pemandu dan penumpang Proton Wira, Allahyarham Muhammad Iqwan Ahmad Izeham, 23 tahun, serta Allahyarham Nur Mimi Aliya Mohd Shukri, 18 tahun, yang sedang hamil.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Azli Mohd Noor, berkata kejadian dikatakan berlaku apabila Proton Wira dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Navara. Ketika kejadian hujan lebat dan keadaan permukaan jalan licin.
Menurutnya akibat pertembungan itu, dua kenderaan terbabit remuk dan penumpang Nissan Navara serta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Wira yang parah meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg