Topik diikuti
Pergi ke BHku2 rakyat M’sia antara mangsa bangunan runtuh di Manila
2 rakyat M’sia antara mangsa bangunan runtuh di Manila
2 rakyat M’sia antara mangsa bangunan runtuh di Manila
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan dua rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian sebuah bangunan runtuh di bandar Angeles, utara ibu negara Manila, Filipina, di mana seorang disahkan selamat.
Wisma Putra dalam satu kenyataan, berkata pihaknya kini sedang giat mengenal pasti status seorang lagi rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
Katanya, pihak kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warga negara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terbabit.
“Pada masa yang sama, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kedua-dua individu berkenaan,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada 24 Mei itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Wisma Putra lagi, pihaknya sedang memantau dengan teliti perkembangan situasi berkenaan, di mana operasi menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan individu yang dikhuatiri terperangkap.
“Kementerian Luar menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua pihak yang terkesan akibat kejadian ini.
“Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat mengumpul maklumat sahih menerusi pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di lapangan,” kata Wisma Putra.
Wisma Putra turut menambah rakyat yang memerlukan bantuan konsular segera atau pihak yang ingin menyalurkan maklumat mengenai warga Malaysia lain yang kemungkinan berada di kawasan berkenaan, digesa menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila.
“Kementerian Luar akan terus menyalurkan maklumat lanjut seiring dengan perkembangan situasi dan selepas maklumat sahih diperolehi,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam kejadian itu, seramai 26 individu berjaya diselamatkan selepas sebuah bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh pada awal pagi 24 Mei, di Bandar Angeles.
Seramai 24 orang dikeluarkan dari struktur bangunan yang runtuh itu, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat kejadian berkenaan.
