Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

22 cedera mercun meletup di Kedah semasa sambut Deepavali: Polis tahan 2 lelaki

Oct 21, 2025 | 2:04 PM
mangsa cedera, mercun meletup semasa sambut Deepavali, Kedah
Seorang mangsa, Encik Pasupathi Ratnam, 74 tahun, patah tangan dalam tragedi letupan mercun ketika pertunjukan bunga api sempena Deepavali di Kulim, Kedah, pada tengah malam 20 Oktober. - Foto NSTP

KULIM (Kedah): Dua lelaki ditahan polis pada 20 Oktober bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan mercun di Jalan Paya Besar, dekat Kulim, Kedah, pada tengah malam 20 Oktober, yang menyebabkan 22 orang awam cedera.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan, berkata kedua-duanya ditahan secara berasingan di Taman Senangin dan Paya Besar.

Katanya, lelaki pertama yang ditahan berusia 34 tahun dan beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, manakala suspek kedua berusia 23 tahun bekerja sebagai pembantu kedai dan beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas, Kulim.

“Kedua-duanya adalah sahabat dan semakan mendapati mereka masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada malam 20 Oktober, lapor Harian Metro.

Encik Zulkifli berkata hasil siasatan menunjukkan kejadian berlaku ketika mereka melepak bersama beberapa rakan lain di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek pertama yang dalam keadaan mabuk telah mengambil mercun jenis ‘kelapa’ yang dijual di khemah berhampiran pada harga RM200 ($61.20), serta memasukkannya ke dalam silinder yang tersedia di tepi jalan.

“Suspek kedua kemudian membakar mercun itu tetapi ia tidak naik, sebaliknya meletup di bawah, disyaki akibat dipasang secara terbalik oleh suspek pertama.

“Akibat letupan itu, 22 orang yang berada di kawasan sekitar mengalami kecederaan termasuk seorang mangsa parah di kepala dan retak tengkorak. Mangsa dirujuk ke Hospital Pulau Pinang serta masih tidak sedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa letupan mercun itu, Encik Pasupathi Ratnam, 74 tahun, mengakui trauma dengan kejadian yang menyebabkannya patah tangan kanan dan mengalami luka di beberapa bahagian badan.

“Deepavali kali ini sepatutnya menjadi pesta cahaya, tapi bertukar tragedi kerana bunga api,” katanya yang melihat sendiri ada mangsa hilang lima jari dan suasana panik ketika kejadian.

Encik Pasupathi berkata letupan berlaku kira-kira 50 meter dari tempat beliau berdiri, namun impaknya tetap kuat hingga menyebabkan beliau rebah.

Seorang lagi mangsa, Cik Norzaina Ismail, 46 tahun, berkata beliau berada di seberang jalan sewaktu letupan berlaku.

“Saya nampak bunga api menyala, kemudian tiba-tiba meletup. Masa itu saya rasa panas dan sakit macam disambar api, tetapi masih boleh berjalan.

“Tidak lama kemudian tangan dan kaki terus bengkak sampai tak boleh gerak,” katanya yang dibawa ke hospital oleh anaknya selepas tidak mampu berdiri akibat kecederaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg