Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pengarah Emraz Travel didakwa salah guna wang pakej umrah RM50,000

Jul 17, 2025 | 4:09 PM
Datuk Zulkarnain Endut, Emraz Travel and Tours Sdn Bhd
Bekas pengarah syarikat pengendali umrah, Emraz Travel and Tours Sdn Bhd (Emraz Travel), Datuk Zulkarnain Endut, didakwa salah guna harta termasuk wang bayaran pakej umrah bernilai hampir RM50,000 ($15,139). - Foto NSTP

KLANG (Selangor): Bekas pengarah syarikat pengendali umrah, Emraz Travel and Tours Sdn Bhd (Emraz Travel), didakwa atas dua tuduhan salah guna harta termasuk wang bayaran pakej umrah bernilai hampir RM50,000 ($15,139) di Mahkamah Majistret Klang, Selangor, pada 17 Julai.

Datuk Zulkarnain Endut, 44 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kededua tuduhan dihadapi itu dibacakan di dua mahkamah berasingan.

Bagi tuduhan pertama, Datuk Zulkarnain, didakwa di hadapan Majistret Siti Zubaidah Maha, menyalahgunakan wang RM27,960 milik seorang lelaki berusia 45 tahun di Jalan Tanjung Shawal, Klang, antara 1 Februari dengan 28 Julai 2023.

Di hadapan Majistret Nor Azilah Mat pula, tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menyalahgunakan wang bayaran RM21,000 milik pelanggan untuk pakej umrah Emraz Travel yang gagal dilaksanakan antara 23 Februari dengan 9 Mac 2024 di Bandar Sultan Suleiman, Klang.

Kededua tuduhan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda, lapor Berita Harian Malaysia.

Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM8,500 dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 September.

Terdahulu pada 15 Julai, Emraz Travel dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah, kerana gagal mematuhi keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang memerintahkan pembayaran tuntutan berjumlah RM232,526 kepada enam individu.

Emraz Travel dan Datuk Zulkarnain masing-masing menghadapi enam tuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Datuk Zulkarnain mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Berdasarkan kertas tuduhan, Emraz Travel dan Datuk Zulkarnain melakukan kesalahan antara Julai 2023 dengan Januari 2024 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Kota Kinabalu, Sabah.

Syarikat terbabit dan Datuk Zulkarnain gagal membayar tuntutan kepada enam individu, membabitkan jumlah tuntutan antara RM24,666 dengan RM50,000, dengan keseluruhannya berjumlah RM232,526.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) telah membatalkan lesen syarikat Emraz Travel berkuat kuasa 11 Mac 2024.

Lembaga Tabung Haji menggantung lesen syarikat berkenaan pada 2 April 2024, dalam usaha melindungi kebajikan bakal jemaah haji berikutan aduan awam mengenai perkhidmatan umrah mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg