PUTRAJAYA: Seramai 43 jemaah umrah Malaysia, termasuk seorang mutawif, terkandas di Jeddah, Arab Saudi, selepas syarikat agensi pelancongan yang menguruskan mereka dipercayai gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada semua jemaah terbabit.
Ketika ini Kedutaan Malaysia di Jeddah sedang berusaha memastikan agensi umrah yang menguruskan 42 jemaah terlibat, pulang ke tanah air seberapa segera.
Sumber Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memaklumkan, petugas kedutaan sudah mengambil tindakan perlu, termasuk soal kebajikan serta keselamatan semua jemaah terbabit.
Katanya agensi umrah terbabit secara jelas melakukan kesalahan apabila tidak menyediakan tiket penerbangan dua hala untuk jemaah seperti dijanjikan.
“Syarikat memberi alasan tidak cukup duit untuk membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air. Alasan ini memang tidak boleh diterima kerana syarikat memang sepatutnya membeli terus tiket penerbangan pergi dan balik, bukan satu hala.
“Jemaah kecewa kerana mereka membeli pakej yang agak mahal, antara RM8,000 ($2,427) hingga RM13,000 seorang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata petugas kedutaan Malaysia di Jeddah mendesak syarikat umrah terbabit untuk mengambil tanggungjawab membeli tiket segera supaya semua jemaah dapat pulang.
Sementara itu, sumber berkata kumpulan jemaah berkenaan bertolak ke Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Julai lalu dan sepatutnya pulang ke tanah air pada 26 Julai.
Jemaah kini ditempatkan di sebuah pangsapuri di Jeddah dan pihak syarikat pelancongan ada meminta wang tambahan sejumlah RM2,300 untuk membeli tiket pulang ke Malaysia.
Dalam pada itu, suri rumah, Cik Nurhidayah Saidin, 35 tahun, dari Kuala Lumpur, berkata beliau mengambil pakej untuk empat ahli keluarganya dengan membayar kos sebanyak RM7,800 untuk setiap seorang.
Katanya beliau membawa ibu berusia 69 tahun, adik lelaki, 30 tahun, dan adik perempuan, 27 tahun, yang sedang mengandung.
“Semua jemaah yang terbabit berasa terkejut apabila agensi pelancongan berkenaan tidak menyediakan tiket pulang. Ketika dapat berhubung dengan syarikat itu, mereka menyarankan supaya jemaah membeli tiket sendiri dan bayaran pemulangan akan diberikan selepas tiba di tanah air.
“Ada beberapa jemaah yang tidak mampu untuk membeli tiket sendiri serta khuatir pihak syarikat pelancongan terbabit tidak memulangkan semula wang tiket yang dibeli mereka kerana sudah membayar kos yang tinggi untuk menyertai pakej ini.
“Jemaah perlu segera pulang ke tanah air kerana terdapat dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan warga emas dan wanita mengandung yang memerlukan ubat-ubatan,” katanya ketika dihubungi BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg