Topik diikuti
Pergi ke BHku29 aktivis M’sia sertai pelayaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dibebaskan tentera Israel
29 aktivis M’sia sertai pelayaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dibebaskan tentera Israel
29 aktivis M’sia sertai pelayaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dibebaskan tentera Israel
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengesahkan 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel sewaktu misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa, telah tiba dengan selamat di Istanbul, Turkey, pada 5.45 petang 21 Mei (waktu tempatan).
“Setakat ini semua dalam keadaan baik walaupun enam peserta termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan perlu pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan ringkas, lapor Berita Harian Malaysia.
Pembebasan keseluruhan 428 aktivis GSF 2.0,termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan, telah dilaporkan media sebelum ini, dengan jangkaan kepulangan ke tanah air pada 24 Mei.
Ketua Pengarah Pusat Arahan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, mendedahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan SNCC bahawa Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menghantar tiga pesawat Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon di kawasan pendudukan Israel.
“SNCC mengesahkan laporan terkini bahawa semua 428 aktivis flotilla sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon.
Dari sana, mereka akan diterbangkan ke Istanbul melalui tiga penerbangan khas tajaan Kerajaan Turkey (kod: TK6919, TK6921, TK6925), dijangka berlepas dari kawasan pendudukan haram Israel sekitar 8 malam waktu Malaysia.
Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines itu dijangka berlepas dari kawasan pendudukan haram Israel sekitar 8 malam waktu Malaysia,” kata Datuk Dr Sani Araby dalam satu kenyataan.
Penerbangan ini dijangka mendarat pada 10 malam waktu Malaysia, dan ketibaan mereka akan disambut oleh Kedutaan Malaysia, Wisma Putra, dan Kerajaan Turkey.
Delegasi Malaysia turut dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan terperinci di hospital Turkey untuk mendapatkan laporan perubatan rasmi, susulan maklumat tahanan yang dilaporkan dipukul dan cedera.
SNCC menjangkakan kumpulan Malaysia ini akan terbang pulang pada 23 Mei dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Dr Sani Araby turut mendedahkan, peserta GSF 2.0, Encik Muhammad Hareez Adzrami, atau Haroqs, didakwa menerima ugutan di media sosial, yang dipercayai datang daripada proksi rejim Zionis Israel.
“Ancaman yang diterima Haroqs di media sosial itu telah dimaklumkan kepada pihak kerajaan kerana ia melibatkan jaminan keselamatan beliau di sana serta keselamatan ibunya di Malaysia,” katanya, merujuk kepada proksi pihak penjajah.
