Topik diikuti
Pergi ke BHku29 rakyat M’sia sertai flotila ke Gaza ditahan tentera Israel, Kementerian Luar desak pembebasan
29 rakyat M’sia sertai flotila ke Gaza ditahan tentera Israel, Kementerian Luar desak pembebasan
Penahanan bertentangan hak asasi, undang-undang antarabangsa
29 rakyat M’sia sertai flotila ke Gaza ditahan tentera Israel, Kementerian Luar desak pembebasan
Seramai 29 peserta Malaysia yang mengikuti pelayaran misi kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza, telah ditahan tentera Israel.
Ketua Pengarah Pusat Arahan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata pencerobohan dan penculikan itu melibatkan 18 kapal yang membawa 29 aktivis Malaysia terbabit.
Beliau berkata 29 peserta Malaysia itu adalah sebahagian daripada 428 aktivis kemanusiaan dari 40 negara merangkumi doktor, pengamal media, kapten, kru kapal dan pembela hak asasi manusia melibatkan 50 kapal yang semuanya telah ditahan pada 18 dan 19 Mei.
Menurutnya, semua kapal terbabit dipintas secara haram dan dikepung tentera Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.
“Laporan dan bukti visual mendedahkan kapal terbabit telah diserang menggunakan meriam air bertekanan tinggi serta dirempuh secara agresif oleh kapal tentera laut Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Mei, yang juga hari ke-38 misi itu berlangsung.
Datuk Sani Araby berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, melalui Wisma Putra sedang menggerakkan usaha diplomatik untuk meningkatkan tekanan antarabangsa untuk pembebasan peserta yang ditahan Israel.
Menurut beliau ia termasuk melalui kerjasama rapat dengan negara sahabat, bagi memastikan semua aktivis dibebaskan dengan segera serta berada dalam keadaan selamat.
“Dunia hari ini menjadi saksi kekejaman penjajah Israel yang bertindak selaku lanun di laut antarabangsa.
“Tindakan ketenteraan bersenjata di koridor laut bebas ini adalah pencabulan totalitarian (kawalan dalam semua perkara) terhadap Artikel 87 dan 90 Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa yang menjamin kebebasan pelayaran mutlak bagi kapal awam termasuk kapal kemanusiaan.
“Pencabulan ini berlaku ketika dunia sedang menyaksikan perkembangan mutakhir ini yang mana dilaporkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang mengeluarkan waran tangkap ke atas lima pimpinan tertinggi Israel termasuk menteri serta komander tentera Israel atas jenayah perang,” katanya.
Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan Datuk Mohamad berkata Kementerian Luar mendesak Israel segera membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa di luar pantai Cyprus ketika dalam misi kemanusiaan secara aman ke Gaza.
Beliau menegaskan penahanan peserta GSF 2.0 itu bertentangan dengan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Kita mendesak tentera Zionis Israel memberi layanan yang sempurna kepada mereka serta membebaskan mereka segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
“Mereka tidak mencerobohi perairan Israel, sebaliknya jauh di luar. Namun, mereka dipintas dan ramai rakyat negara lain turut ditahan oleh Israel,” katanya dalam satu majlis di Subang, Selangor, pada 19 Mei.
