KUALA LUMPUR: Dua makmal dadah milik rangkaian sindiket antarabangsa lumpuh menyusuli tertangkapnya empat anggota kumpulan itu dan rampasan dadah sintetik, Methylene-dioxy-methamphetamine (MDMA), atau ecstasy.
Dadah yang dirampas itu dilakukan menerusi Ops Pine di Lembah Klang, pada 10 September dengan berat 3.58 tan dan bernilai RM598.9 juta ($182.6 juta).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata sindiket itu disyaki aktif sejak Julai lalu dengan menjadikan premis di kawasan perindustrian sebagai makmal memproses dadah sebelum dijual ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, serbuan pertama dan kedua di dua premis berasingan sekitar Taman Perindustrian Kepong, di sini menemui pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah serta tangkapan tiga suspek termasuk ‘tukang masak’ narkotik terbabit.
“Serbuan pertama menahan tiga suspek lelaki dan merampas 136 tong dan satu bekas plastik berisi cecair disyaki MDMA seberat 3,330 kilogram (kg); 563 botol bahan kimia seberat 1,200 kg; dan sejumlah serbuk bahan kimia seberat 213.7 kg.
“Serbuan kedua menemukan dua bungkus plastik dan satu tong berisi dadah MDMA seberat 25.3 kg; 10 tong cecair MDMA; sejumlah cecair bahan kimia seberat 947.35 kg; dan serbuk kimia 52.4 kg serta peralatan makmal.
“Ia rampasan dadah terbesar tahun ini (2025). Dadah itu mungkin dibekalkan kepada 12 juta pengguna,” katanya pada sidang media di sini pada 17 September, lapor Harian Metro.
Menurutnya, serbuan ketiga di sebuah premis rumah di Taman Templer di Selangor, polis menahan seorang suspek lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai penghantar dadah namun tidak menemukan sebarang bahan terlarang itu.
Menurutnya, tiga suspek yang ditahan dalam serbuan pertama berperanan sebagai penyelaras, ‘tukang masak’ dan pembantu.
Datuk Mohd Khalid berkata hasil siasatan setakat itu mendedahkan sindiket terbabit menjual dadah MDMA yang sudah diproses di pasaran tempatan dan turut diseludup ke luar negara antaranya Indonesia serta Australia.
“Kita baru seminggu jalankan siasatan jadi masih banyak lagi yang perlu kita dapatkan, kita belum dapat pastikan siapa sebenarnya yang mengetuai antara empat suspek ini.
“Seperti disebutkan, ia memang ada rangkaian antarabangsa, perkara ini masih dalam siasatan dan kita sedang berusaha mengumpul maklumat lanjut.
“Kita percaya ada beberapa negara yang terlibat, kita masih menunggu pengesahan.
“Yang pasti, pemprosesan dibuat di negara kita, manakala beberapa negara jiran, terutama Australia dan Indonesia, menjadi destinasi utama pengedaran,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau menambah, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan dan kenderaan dengan nilai keseluruhan mencecah RM336,224 antaranya kenderaan jenis Toyota Vellfire; Caldina Unser; Proton X70; Mazda 6; wang tunai RM2,000 dan sebentuk cincin serta syiling keemasan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg