SHAH ALAM (Selangor): Polis menumpaskan kegiatan sindiket memproses cecair rokok elektronik atau ‘vape’ dan jus yang mengandungi dadah dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Selangor akhir Jun lalu, dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM27 juta ($8.19 juta).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata jumlah dadah yang dirampas itu mampu diedarkan kepada 3 juta penagih jika terlepas ke pasaran gelap.
Beliau berkata kededua sindiket yang aktif sejak Oktober dan Disember 2024 dikesan memproses dadah sintetik seperti Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kokain, ketamin dan ganja ke dalam bentuk jus serta cecair ‘vape’ sebelum diedarkan ke pasaran dalam Malaysia dan luar negara.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan menggunakan rumah teres dan kondominium mewah yang disewa sebagai makmal untuk memproses bahan terlarang tersebut.
“Jus dan cecair ‘vape’ ini nampak seperti produk biasa, tetapi sebenarnya mengandungi dadah dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu, termasuk ke luar negara,” katanya, lapor Astro Awani.
Datuk Hussein menambah, bagi mengelak kegiatan mereka dikesan, suspek mengelak daripada menjual bekalan itu secara dalam talian.
“Produk itu dipercayai hanya dijual secara fizikal melalui ejen dan penghantar ke lokasi seperti pusat hiburan serta parti tertutup,” jelasnya.
Menurut Datuk Hussein, menerusi Op Aspen, polis menjalankan enam serbuan secara serentak di sekitar Selangor pada 26 Jun dan menahan 13 individu berusia antara 20 dengan 41 tahun termasuk seorang wanita warga Vietnam.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket dipercayai aktif sejak Disember 2024 dengan peranan utama dimainkan empat ahli kimia, seorang pembantu serta enam penghantar yang menerima bayaran antara RM3,000 dengan RM25,000 sebulan.
Dalam serbuan itu juga polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM5.03 juta.
Sementara itu, satu lagi serbuan dikenali Op Araucaria yang dijalankan pada 25 Jun membawa kepada dua serbuan di kondominium mewah di Ampang yang dijadikan makmal memproses dadah dalam bentuk ‘vape’.
Menurut Datuk Hussein, dalam serbuan itu, polis menahan lima suspek berusia 20 hingga 37 tahun, termasuk tiga lelaki warga Taiwan, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam.
“Rampasan membabitkan pelbagai jenis dadah serta kartrij ‘vape’ mengandungi dadah MDMA dan kokain dengan nilai pasaran RM21.39 juta,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg