SEREMBAN (Negeri Sembilan): Tiga beranak dipercayai pengikut, The Ahmadi Religion of Light and Peace, atau ajaran The Ahmadi ditahan di kediaman mereka dekat Ampangan, di sini, pada 23 Oktober.
Tangkapan kira-kira 2 petang itu dilakukan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) hasil risikan selama lima bulan terhadap keluarga berkenaan.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Encik Ahmad Zaki Hamzah, berkata hasil siasatan mendapati tiga beranak berkenaan sudah berbaiat atau bersyahadat dengan ajaran berkenaan.
“Dalam operasi hari ini (23 Oktober), kami menahan seorang lelaki berusia 60-an tahun yang juga pesara kerajaan bersama isterinya yang berusia 50-an tahun dan anak perempuannya berumur 20-an tahun.
“Tangkapan dilakukan di sebuah rumah di Ampangan. Ketika pemeriksaan kami menjumpai dan merampas pelbagai bukti berkaitan ajaran berkenaan,” katanya pada sidang media pada 23 Oktober, lapor Harian Metro.
Encik Ahmad Zaki berkata tangkapan berkenaan adalah kali pertama di Negeri Sembilan membabitkan ajaran terbabit yang didapati bertentangan dengan hukum syarak.
“Antara yang dirampas adalah pelbagai dokumen berkaitan ajaran, tablet, buku dan telefon bimbit.
“Berdasarkan siasatan bukti yang dijumpai, memang mempunyai persamaan dengan ajaran Ahmadi Religion.
“Kami turut menemui bukti yang menunjukkan tiga beranak ini sudah berbaiat. Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sudah lama tidak menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada Disember.
“Difahamkan mereka juga terpengaruh dan belajar ajaran berkenaan menerusi media sosial terutamanya YouTube, malah difahamkan juga mereka juga cuba menyebarkan ajaran ini,” katanya.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 52 dan 35 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2019 kerana kesalahan perbuatan dan ajaran salah serta menghasut orang lain melakukan jenayah syariah.
“Pihak kami akan melengkapkan siasatan dan suspek dijangka dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, esok,” katanya.
Harian Metro pada Mei lalu melaporkan bahawa ketua ajaran itu mendakwa dirinya sebagai ‘Imam Mahdi’ sebenar, menolak semua ulama seluruh dunia dan mendakwa semua agama termasuk Islam adalah sesat.
Sumber keselamatan negara menyatakan kumpulan terbabit juga giat menyebarkan ideologi mereka menerusi wadah media sosial seperti TikTok dan turut mempunyai saluran Telegram.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg