Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia pantau, siasat 20 ajaran sesat, termasuk Global Ikhwan

Oct 23, 2024 | 2:08 PM
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang memantau secara dekat lapan ajaran sesat di seluruh negara, selain membuat risikan dan siasatan ke atas 12 lagi ajaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata kerajaan turut mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas).

“Bukan GISBH (Global Ikhwan Service and Business Holdings) saja yang akan kita berikan tumpuan. Kita juga sedang memantau beberapa ajaran yang berpotensi untuk ada kesesatan, kita pantau secara dekat dengan kerjasama agensi.

“Strategi dan tindakan sudah dilakukan. Bagi keperluan (mengadakan) undang-undang (khusus), ia memerlukan kajian dengan lebih mendalam supaya segala inisiatif yang dilakukan mengambil kira dapatan menyeluruh,” katanya di Dewan Rakyat pada 23 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (AP) Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad (Perikatan Nasional), apakah kerajaan bercadang mewujudkan undang-undang khusus bagi membendung ajaran sesat Al-Arqam daripada berterusan.

Menjawab soalan asal Dr Abd Ghani mengenai punca tarekat Aurad Muhammadiyah masih diamalkan pengikut Al-Arqam sedangkan kededuanya sudah difatwakan sesat pada 1994, Dr Zulkifli berkata ia disebabkan pengamalan tarekat secara tersembunyi dan sukar dikesan, selain pengaruh pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, masih kuat dalam kalangan pengikutnya.

Selain itu, pengamal juga dilihat meyakini manfaat dan kekuatan ekonomi yang mungkin diperoleh daripada amalan itu, selain faktor seperti pengaruh masyarakat dalam kalangan kumpulan dan ketidakpastian dalam memahami fatwa.

“Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh akidah dan pegangan umat Islam, termasuk ahli GISBH, melalui pembudayaan ilmu, pentarbiahan dan pengukuhan akidah yang komprehensif serta berkesan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

“Langkah drastik kerajaan untuk menghapuskan tarekat ini dibuat menerusi operasi secara bersepadu bersama agensi Persekutuan dan negeri, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguat kuasa agama negeri dalam siri ‘Ops Global’, dan banyak bahan bukti terkait akidah diperoleh,” katanya.

Dr Zulkifli juga berkata Jakim membentangkan kajian kepada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September, yang menimbang dan memutuskan pandangan hukum berkaitan GISBH.

Sejauh ini enam negeri sudah memutuskan GISBH sebagai ajaran sesat, iaitu Selangor, Melaka, Perlis, Selangor, Pahang dan Sabah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg