Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang dikaitkan dengan amalan doktrin ajaran sesat Al-Arqam, telah pesat berkembang sebagai sebuah konglomerat Islam besar di Malaysia sehingga mampu bertapak di 20 negara.
Dalam senyap, kumpulan perniagaan bermotifkan agama dengan 10,000 atau lebih pengikut itu berselindung di sebalik pegangan tarekat Aurad Muhammadiah di bawah Al-Arqam, yang telah difatwakan sesat di Malaysia pada 1994.
Majlis Fatwa Kebangsaan ketika itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik.
Tidak seperti pergerakan berasaskan agama Islam lain, Al-Arqam barangkali boleh dianggap paling berpengaruh dan meninggalkan kesan besar dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Ketika ini, GISBH – yang kini lumpuh selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur syarikat berkenaan bermula 11 September lalu menerusi Op Global – mungkin kumpulan ajaran sesat terbesar di Malaysia.
Syarikat itu bukan saja dikaitkan dengan amalan ajaran sesat, malah terpalit dengan dakwaan serangan seksual dan penderaan terhadap kanak-kanak di pusat jagaannya, penghambaan pekerja dan pengubahan wang haram.
Mengikut sejarahnya, GISBH merupakan serpihan daripada pertubuhan Al-Arqam yang diasaskan Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai ‘Abuya’ pada 1968.
Ashaari Muhammad dikatakan menerima (ijazah) Aurad Muhammadiah daripada bapa saudaranya yang dikenali sebagai Lebai Ibrahim Alias.
Sebelum kembali memuncak sebagai GISBH, syarikat itu telah melalui era ‘penjenamaan’ semula bagi ‘menghalalkan’ lanjutan ajaran sesat Al-Arqam dengan nama Rufaqa Corporation.
Tahun berganti tahun, jumlah pengikutnya kian bertambah dengan memiliki lebih 400 rangkaian perniagaan di serata dunia di bawah teraju Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali.
Pelbagai amalan pelik yang diikuti ahli GISBH menguatkan lagi dakwaan syarikat itu dengan ajaran sesat Al-Arqam.
Jemaah GISBH dikatakan didoktrin agar sentiasa taasub kepada pemimpin, dengan setiap inci tubuh pemimpin dianggap mempunyai ‘berkat’.
‘Barangan berkat’ ini antaranya ialah janggut, darah, air kaki, perca kain dan pakaian pemimpin.
Walaupun pengasasnya sudah mengisytiharkan taubat secara terbuka sebelum meninggal dunia pada 2010, amalan sesat kumpulan itu dipercayai terus hidup di bawah kepimpinan Nasiruddin.
Secara ringkas, Nasiruddin ialah bekas pemandu peribadi kepada Ashaari, namun beliau dan isterinya, Azura, mendapat kepercayaan isteri Ashaari iaitu Khadijah Aam atau Ummu Jah dan diangkat sebagai orang kanannya.
Bagaimana Al-Arqam yang telah difatwakan sesat boleh terus ‘hidup’ dalam kalangan jemaahnya?
Al-Arqam boleh dilihat sebagai satu kisah ketaasuban umat Islam Malaysia terhadap seorang pemimpin yang dianggap luar biasa.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Mudir Akademi Pemikiran Turath al-Mustanir Penggerak Du`at Falah, Encik Ahmad Faiz Mohd Khalil, berkata mudahnya umat Islam terpengaruh dengan kumpulan ajaran sesat yang secara jelas bercanggah dengan logik akal dan ajaran Islam sebenar, menunjukkan lemahnya pegangan ilmu agama dalam kalangan masyarakat.
Justeru, beliau berkata adalah amat penting untuk pihak berkuasa agama melaksanakan usaha pengukuhan akidah dan penyembuhan ahli GISBH yang semakin jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
“Tiga perkara perlu dititikberatkan untuk mengekang penyebaran ajaran sesat ini. Pertamanya tindakan kolektif oleh pihak berkuasa agama untuk menyebar luaskan ilmu ahli sunah wal-jamaah dengan fahaman betul dalam kalangan masyarakat.
“Kedua, tubuhkan satu unit khas yang mengkaji tentang ajaran dan fahaman salah yang timbul supaya kita dapat membendungnya dengan cekap. Dan ketiga, apabila ajaran sesat itu tersebar, pemulihan dan kawalan supaya ia tidak terus menular dalam masyarakat perlu disegerakan,” jelasnya.
Beliau berkata ajaran sesat mampu menjurus kepada tindakan radikal melampau yang boleh membawa kepada tindakan ekstrem dan pengganasan, justeru mereka tidak boleh diberi peluang membiak.
“Saya pernah bertemu dengan beberapa pelajar atau masyarakat yang terpengaruh dengan ajaran mimpi dan mereka tidak mampu membezakan antara yang mana patut dijadikan sandaran. Bagi umat Islam, mimpi tidak boleh dijadikan sandaran selain pegangan kita kepada Al-Quran dan sunah Rasulullah saw.
“Pengikut ajaran sesat juga menganggap golongan selain mereka sebagai kufur dan jahil, maka ini mendorong kepada berlakunya perkara yang lebih dahsyat seperti maki hamun sesama Muslim, pergaduhan, buruk sangka yang boleh membawa kepada pembunuhan.
“Kita boleh katakan ketaasuban kepada pemimpin sebagai satu ciri ajaran sesat sehingga mengutuskan pemimpin itu seperti yang sedang masyhur sekarang ialah terdapatnya individu yang mendakwa diri mereka Imam Mahdi. Dalam ahli sunah wal-jamaah, Imam Mahdi tidak mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi,” katanya kepada BM.
Selain Al-Arqam, antara beberapa kumpulan ajaran sesat yang telah diharamkan di Malaysia ialah Fatwa Ilmu Salah yang diasaskan Kahar Ahmad (Selangor); Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, diketuai Kadirun Yahya (Selangor); Millah Abraham, ajaran yang telah difatwakan haram di Johor; Kerajaan Langit yang diperkenalkan Ariffin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin (Terengganu).
Selain itu terdapat fahaman Wahdatul Wujud yang diasaskan Ibnu Arabi (Selangor); Tarikat al-Hasaniah yang ditubuhkan Ghulam Hasan Ali al-Bikangi dari Pakistan yang mengembangkan ajarannya di Sabah sebagai markas utama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg