JOHOR BAHRU: Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut apabila kediaman mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram, Johor, terbakar awal pagi 17 Januari.
Dalam kejadian 2.46 pagi itu, empat mangsa dilaporkan terperangkap, namun seorang daripadanya membabitkan kanak-kanak lelaki 13 tahun berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Komander Operasi Kanan JBPM, Encik Mohd Faiz Ramli, berkata seramai 24 anggota dan empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian di Jalan Limau Manis, Kampung Oren, selepas mendapat panggilan kecemasan orang awam.
“Setibanya di tempat kejadian, terdapat sebuah rumah sedang marak terbakar yang memusnahkan 80 peratus daripada kediaman berkenaan.
“Terdapat empat mangsa di dalam rumah berkenaan dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dapat diselamatkan.
“Namun, tiga lagi mangsa membabitkan seorang lelaki dewasa, perempuan dewasa dan kanak-kanak perempuan meninggal dunia dengan kesan melecur di seluruh badan.
“Mangsa yang berjaya diselamatkan melecur di bahagian muka dan tangan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Januari, lapor Harian Metro.
Tiga mangsa yang meninggal dunia kemudian dikenali sebagai Cik Ng Geok Choo, 63 tahun, anaknya Encik Lee Chiw Yong, 30 tahun, serta cucunya Chen Si Jing, 11 tahun.
Seorang lagi cucu, Chen Yu Rong, 12 tahun, berjaya diselamatkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg