KOTA TINGGI: Tiga lelaki termasuk dua beradik masing-masing dihukum denda RM250,000 ($76,379) dan penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, pada 23 September, atas tuduhan menyimpan bangkai seekor harimau belang betina (Panthera Tigris Jacksoni) tanpa permit khas.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh, Md Shaheezam Md Salim, 49 tahun; Nazerin Tomiran, 47 tahun; dan Mohamad Nazrol Tomiran, 28 tahun; mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara semua tertuduh ditambah tujuh tahun lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas tuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama-sama menyimpan harimau belang betina yang telah mati itu di bahagian belakang bonet sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) tanpa permit khas.
Harimau belang adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), lapor Berita Harian Malaysia.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor kira-kira 6.10 pagi, 16 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 70(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM250,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan dan penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Cik Fatin Hanum Abdul Hadi, memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, serta berbentuk pencegahan untuk dijadikan teladan kepada masyarakat awam dan isyarat bahawa jenayah hidupan liar dipandang serius oleh mahkamah.
“Mohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan serius yang membabitkan kepentingan khazanah negara yang tidak ternilai harganya.
“Spesies Harimau Malaya ini spesies ikonik yang terdapat pada jata (lambang kebesaran) negara kita, selain digunakan pada lambang jabatan seperti polis, tentera, kastam, malah Maybank.
“Ia spesies semula jadi yang ada di benua Asia yang mana antara enam daripada sembilan spesies harimau belang yang masih hidup, manakala tiga spesies lagi sudah pupus.
“Malaysia antara 13 negara yang masih mempunyai habitat asal harimau belang dan spesies ini hanya terdapat di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam hujahan pemberatan hukuman.
Sebelum ini pada 16 September, tiga lelaki itu ditahan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman dalam operasi bersama Perhilitan Johor selepas menerima maklumat awam.
Siasatan awal mendapati haiwan berkenaan mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat, selain enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata nilai haiwan itu dianggarkan sekitar RM250,000 hingga RM300,000 dan dipercayai untuk dijual di pasaran gelap.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg