KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia ketika ini boleh mengancam nyawa dan risiko keselamatan jika tidak berhati-hati.
Di Gemencheh, Negeri Sembilan, lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki dihanyutkan arus deras ketika cuba meredah banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Encik Norfaizal Ahmad, berkata kejadian menimpa kesemua mereka yang berumur antara empat dengan 40-an tahun itu disedari orang awam kira-kira 12 tengah malam 28 November.
“Ketika itu orang awam nampak si ayah menolak kereta dan cuba membantu tetapi gagal kerana air terlalu deras dan dalam. Kita selamatkan empat ahli keluarga termasuk tiga anak pasangan berkenaan di atas kereta itu kira-kira 3 pagi.
“Ketika itu si ayah sudah hanyut ke tengah dan pasukan berjaya menyelamatkan mangsa hampir dua jam kemudian,” katanya, lapor Astro Awani.
Negeri Sembilan adalah negeri terbaru dilanda banjir bermula lewat petang 28 November, dengan seramai 1,349 mangsa banjir di daerah Tampin dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan, telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Rantau Panjang, Kelantan, dua beranak berdepan detik cemas apabila terpaksa berpaut pada pokok selama lima jam selepas perahu yang mereka naiki terbalik dipukul arus deras banjir di Kampung Tasek, Lubok Gong, pada 27 November malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Encik Shapawi Stapa, berkata mangsa wanita berusia belasan tahun dan ibunya berusia 50-an tahun keluar menyelamatkan diri dari rumah yang mula dinaiki banjir kira-kira 9 malam.
“Anggota kemudian berjalan kaki meredah banjir sejauh 1.5 kilometer (km) dan cuba membantu menggunakan tali, namun tidak berjaya.
“Mereka kemudian meminjam bot penduduk kampung dan masuk sekali lagi untuk membantu.
“Dua beranak itu dalam keadaan berpelukan sambil berpegang pada sebatang pokok sebelum anggota bomba membawa mereka keluar menggunakan perahu dalam keadaan cuaca gelap dan arus deras,” katanya.
Di Melaka pula, seorang penunggang motosikal yang cuba meredah banjir dengan mengekori sebuah lori, nyaris maut selepas dihanyutkan arus deras banjir di Lubok Cina.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.32 pagi dan sebaik tiba di lokasi, kawasan sekitar termasuk jalan raya dinaiki air sedalam kira-kira 1.2 meter dengan keadaan arus deras.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg