Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelantan paling teruk terjejas banjir dengan lebih 65,000 mangsa

Penduduk Kelantan sifatkan banjir 2024 adalah yang terburuk selepas 10 tahun
Nov 29, 2024 | 4:42 PM
Keadaan rumah penduduk di Kelantan yang hanya menampakkan bumbung selepas ditenggelami banjir.
Keadaan rumah penduduk di Kelantan yang hanya menampakkan bumbung selepas ditenggelami banjir. - Foto BERNAMA

Penduduk Kelantan menyifatkan banjir 2024 adalah yang terburuk selepas 10 tahun, dengan jumlah mangsa yang terjejas dengan bencana itu meningkat kepada 65,389 orang membabitkan 20,311 keluarga setakat 4 petang 29 November.

Untuk rekod pada 2014, Kelantan pernah dilanda banjir terburuk yang dipanggil Bah Kuning, dengan sejumlah lebih 150,000 orang daripada 36,000 keluarga terlibat bencana itu.

Malah, paras Sungai Golok, di Rantau Panjang, Kelantan, kini melepasi 11.42 meter (m) dan melepasi catatan bah kuning pada 2014 iaitu, 10.52m.

Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Cik Rohani Ibrahim, pula dilaporkan berkata sejarah banjir besar direkodkan di Kelantan pada 1926, seterusnya 1967 – iaitu selepas 41 tahun, dan kali terakhir pada 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di Kelantan pada kira-kira 3.30 petang, 29 November, untuk melawat mangsa banjir.

Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan semua 65,389 mangsa terbabit berlindung di 238 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.

Daerah Pasir Mas, mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 22,486 orang daripada 7,763 keluarga, diikuti ibu kota Kelantan iaitu Kota Bharu yang menyaksikan 8,349 mangsa daripada 2,410 keluarga terjejas.

Seorang penduduk Rantau Panjang, Encik Wan Sauzi Wan Jaafar, 65 tahun, berkata banjir kali ini lebih tragik berbanding bah merah yang pernah melanda Rantau Panjang pada 1967, ketika beliau masih kecil.

Beliau yang sudah 22 tahun tinggal di Kampung Dangar, mendakwa banjir 2024 merupakan yang terburuk selepas lebih 50 tahun dan ia benar-benar menakutkan.

“Sejak tinggal di sini 22 tahun lalu, kami tidak pernah berpindah. Namun kali ini situasi berbeza apabila bahagian dalam rumah dinaiki air separas 0.4m. Banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air kini turut tenggelam.

“Suasana menjadi huru hara dengan penduduk yang panik seperti sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya, memetik laporan Berita Harian Malaysia.

Banjir kali ini turut menyebabkan ramai mangsa terperangkap, terputus hubungan dan kelaparan berikutan arus terlalu deras dan paras air naik mendadak.

Encik Ibrahim Mat, 36 tahun, menganggap banjir kali ini adalah di luar jangkaan, selain tidak menyangka kata-kata ‘orang tua’ bahawa banjir besar akan melanda adalah tepat.

“Sebelum musim tengkujuh tiba ada saja yang berpesan supaya penduduk terutama di kawasan berdekatan sungai berhati-hati memandangkan tahun ini genap 10 tahun selepas kejadian bah besar 2014.

“Kami bukan saja terperangkap, bergelap kerana tiada elektrik malah terputus bekalan makanan. Tiada lagi harapan selain memohon doa kepada Yang Maha Esa semoga bah segera pulih,” katanya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, keluar meredah hujan bagi mengagihkan bantuan banjir kepada penduduk terjejas di daerah Pasir Mas.

Menerusi perkongsian di laman sosialnya, beliau turut dilihat mengemudi sendiri bot membawa pek makanan dan singgah di PPS untuk menyantuni mangsa.

Dengan keadaan banjir yang semakin buruk, pihak berkuasa di Kuala Krai mengambil langkah awal dengan memindahkan 30 ibu mengandung dan tiga pesakit terlantar ke Hospital Kuala Krai bagi pemerhatian dan rawatan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg