Hari kedua banjir pada 28 November di beberapa negeri di Malaysia menyaksikan jumlah mangsa terjejas melonjak kepada 52,381 orang membabitkan 16,035 keluarga.
Banjir di Kelantan kali itu bagai menepati ramalan awal pihak berkuasa bahawa fenomena banjir besar pada 2014 di negeri itu akan berulang.
Data Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan, setakat 4 petang, Kelantan setakat ini merekodkan jumlah mangsa paling ramai – meningkat kepada 43,063 orang membabitkan 13,089 keluarga.
Semua mangsa terbabit kini berlindung di 191 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, serta Jeli, dengan Gua Musang menjadi daerah terbaru dilanda banjir.
Jumlah mangsa di Terengganu juga meningkat kepada 8,106 daripada 2,507 mangsa di tujuh daerah iaitu Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu dan daerah terbaru terlibat banjir, Kuala Nerus.
Kedah pula menyaksikan 873 mangsa daripada 339 keluarga telah dipindahkan ke empat PPS di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Pokok Sena.
Di Johor, Perak dan Perlis pula masing-masing hanya melibatkan sebilangan kecil mangsa iaitu 338 orang.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri bagi menghadapi banjir.
Datuk Anwar berkata langkah itu bagi memastikan tahap keselamatan serta kebajikan mangsa banjir terpelihara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula November hingga Mac 2025.
Menurutnya, kerajaan juga memberi keutamaan tertinggi kepada penduduk di kawasan terkesan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Nadma serta seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberi kerjasama serta (menjalankan) persiapan lebih baik tahun ini (2024),” katanya sebelum memulakan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada 28 November.
Datuk Ahmad Zahid pula berkata berdasarkan unjuran Jabatan Meteorologi Malaysia, banjir yang sedang melanda Kelantan dan Terengganu dijangka lebih buruk berbanding bencana pada 2014.
Menurutnya, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan turut memburukkan situasi banjir, menyebabkan air sungai tidak dapat keluar ke laut.
“Walaupun pada peringkat awal ini Pahang dan Johor belum terjejas, tetapi kita jangkakan negeri itu akan terjejas pada awal Disember, yang akan menerima peningkatan hujan.
“Air sungai juga akan melimpah dari Terengganu ke Pahang dan sungai dari Pahang akan melimpah ke Johor,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kecemasan Bencana Banjir bersama agensi di Kuala Lumpur.
Seorang lelaki warga emas menjadi korban pertama banjir di Terengganu, selepas ditemui lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah padi di Kampung Raja, Besut, pada pagi 28 November.
Allahyarham Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66 tahun, sebelum itu dilaporkan ke kawasan sawah padi itu pada 8.15 pagi untuk memukat ikan bersama tiga lagi rakannya.
Sementara itu, sebanyak 18 klinik kesihatan di Kelantan ditutup, manakala 18 sekolah dan 31 jalan ditutup di Terengganu, berikutan ditenggelami banjir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg