PUTRAJAYA: Tiga selebriti Malaysia hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 6 Februari, untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky, membabitkan syarikat perunding kewangan.
Tiga selebriti itu terdiri daripada pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan; penyanyi, Ziana Zain; dan Angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.
Ketiga-tiga selebriti itu hadir ke pejabat SPRM pada 9.30 pagi dan dibenarkan masuk menerusi pintu belakang pejabat SPRM, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tinjauan BHM di pintu masuk pagar hadapan pejabat SPRM mendapati lebih 10 pengamal media berkumpul sejak 9 pagi bagi membuat liputan, namun hampa selepas dilaporkan ketiga-tiga selebriti itu dibawa masuk melalui pintu pagar belakang.
Media Malaysia pada 5 Februari melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata SPRM akan merakam keterangan tiga selebriti itu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.
Katanya, ketiga-tiga mereka tidak dianggap sebagai suspek, sebaliknya keterangan masing-masing diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Terdahulu dilaporkan, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 ($296,240) untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta menahan pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Op Sky.
Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 3 Februari lalu.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg