Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tipu perunding kewangan: Jalaluddin Hassan antara disiasat SPRM

Feb 3, 2025 | 2:05 PM
Pelakon dan pengacara popular Datuk Jalaluddin Hassan, 71 tahun, terpalit dengan kontroversi sebuah syarikat perunding kewangan yang menipu ribuan mangsa yang memohon pinjaman wang.
Pelakon dan pengacara popular Datuk Jalaluddin Hassan, 71 tahun, terpalit dengan kontroversi sebuah syarikat perunding kewangan yang menipu ribuan mangsa yang memohon pinjaman wang. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Beberapa selebriti dan artis yang dilantik sebagai ikon serta duta rasmi untuk mempromosi syarikat perunding kewangan yang terbabit sindiket rasuah dan pengubahan wang haram di Malaysia akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata buat masa ini mereka masih belum dipanggil, namun pihaknya jangkakan bakal memanggil selebriti dan artis terbabit dalam tempoh terdekat.

“Adalah beberapa orang (artis) yang akan kita panggil bagi membantu siasatan.

“Daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti terbabit ada yang menerima bayaran antara RM150,000 ($45,386) hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat,” katanya, lapor Harian Metro.

Pelakon veteran Malaysia, Datuk Jalaluddin Hassan, 71 tahun, yang diikat sebagai duta oleh syarikat perunding kewangan terbabit antara yang akan dipanggil memberi keterangan.

Penyanyi Ziana Zain, juga turut dikaitkan dengan dakwaan bahawa beberapa selebriti termasuk artis legenda dan ikon inspirasi Malaysia kini dalam siasatan SPRM berikutan kes berkenaan, namun beliau enggan memberi sebarang komen mengenainya.

Tan Sri Azam berkata hasil siasatan mendapati syarikat terbabit sememangnya menjadikan individu popular untuk menarik perhatian ramai.

Selain itu, katanya mereka juga mengiklankan tawaran syarikat melalui papan iklan, Facebook, TikTok dan Instagram serta menggunakan kaedah soal selidik.

Beliau juga memaklumkan kumpulan itu turut menjelajah ke sekolah, hospital dan klinik, bertujuan ‘memancing’ individu dalam kalangan guru sekolah dan kakitangan awam lain.

Datuk Jalaluddin berkata beliau sedia memberi kerjasama kepada SPRM sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan.

“Tiada masalah (untuk beri kerjasama kepada SPRM). Apapun, tugas saya hanya sebagai duta dengan syarikat perunding kewangan terbabit, yang bertanggungjawab menjalankan tugas membuat promosi di media sosial, itu saja,” jelasnya.

SPRM sebelum ini menyiasat syarikat perunding kewangan yang menguruskan pinjaman bank individu termasuk ribuan penjawat awam dan mampu meraih keuntungan besar kerana ‘merompak’ sekurang-kurangnya hampir 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan bank.

Difahamkan siasatan SPRM yang menggerakkan Op Sky bagi menyiasat kes itu mendapati mangsa tidak akan memperoleh kesemua pinjaman yang diberikan bank, sebaliknya mempunyai peratusan tertentu yang perlu dibayar kepada syarikat yang mendalangi sindiket yang ditumpaskan SPRM, baru-baru ini.

Sindiket itu dipercayai didalangi pegawai institusi perbankan yang dipercayai menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi yang dikemukakan syarikat perunding kewangan terbabit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg