KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengendali air di Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menipu syarikat berkaitan penganjuran program kebajikan berjumlah RM3.38 juta ($1.04 juta) pada April 2023.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Faizal Aliar, 39 tahun, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda tidak mengaku bersalah selepas tuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut tuduhan, Muhamad Faizal didakwa menipu Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd dengan memperdaya syarikat itu untuk mempercayai ‘Program Imarah Ramadan 2023’ akan dilaksanakan seperti mana dinyatakan dalam surat permohonan sumbangan bertarikh 1 April 2023, sekali gus mendorong pembayaran RM82,500 dibuat sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.
Bagi satu lagi tuduhan, beliau didakwa menipu syarikat sama dengan memperdaya syarikat itu untuk mempercayai ‘Program Prihatin Komuniti Madani 2023’ akan dilaksanakan seperti mana dinyatakan dalam surat permohonan sumbangan bertarikh 4 April 2023, sekali gus mendorong pembayaran RM3.3 juta dibuat sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan, lapor Berita Harian Malaysia.
Kedua-dua transaksi pembayaran itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia yang mana syarikat berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Menara Felda Platinum Park, di sini, pada 13 dan 14 April 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebat, selain boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Encik Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam, Encik S Preakas.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM200,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan tanpa mengemukakan sebarang syarat tambahan.
Bagaimanapun, Encik Preakas memohon mengurangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua tuduhan memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja dan mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan dua daripada mereka adalah ‘anak istimewa’.
Encik Preakas turut memaklumkan bahawa Muhammad Faizal mengalami komplikasi tulang belakang yang memerlukannya mendapatkan rawatan di hospital.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin tempatan dan 3 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg