AMPANG (Kuala Lumpur): Tiga warga Singapura dan seorang warga Malaysia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 26 Jun atas tuduhan mengedar dadah jenis kokain dalam bentuk cecair hampir 10 liter berhampiran sebuah hotel di sini pada 19 Jun lalu.
Quek Kien Seng, 45 tahun, Tristan Chew Jin Zhong, 25 tahun, Ivan Tan Zhi Xuan, 31 tahun, dan warga tempatan, Kong Sien Mee, 57 tahun, mengangguk faham selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh berikutan ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut tuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kokain dengan anggaran isi padu 9,420.2 mililiter di jalan keluar sebuah hotel di sini pada 11.45 pagi, 19 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan sebatan minimum 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwi, manakala tiga tertuduh warga Singapura diwakili peguam Cik Ille Maryam Yusnawannie, manakala Kong tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 8 September ini sebutan semula kes dan laporan kimia.
Sebelum ini media melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran katrij cecair ‘vape’, atau rokok elektronik, mengandungi dadah jenis kokain yang pertama di negara ini selepas menahan empat individu di tempat letak kenderaan hotel di Ampang Jaya dan merampas 4,958 katrij cecair vape bernilai RM7.2 juta ($2.17 juta).
Dadah berkenaan yang dibawa masuk dari Singapura itu dipercayai untuk pasaran individu kenamaan (VIP) dan antarabangsa.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dipetik berkata pihaknya menahan seorang warga tempatan dan tiga warga Singapura di dalam kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire di hotel berkenaan.
Siasatan awal mendapati semua katrij cecair vape berkenaan adalah untuk pasaran antarabangsa yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg