Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis tumpas sindiket ‘vape’ kokain pertama di M’sia, 3 dalang warga S’pura antara ditahan

Jun 24, 2025 | 11:21 AM
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (dua dari kanan), menunjukkan katrij ‘vape’ mengandungi dadah yang dirampas pada 19 Jun.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (dua dari kanan), menunjukkan katrij ‘vape’ mengandungi dadah yang dirampas pada 19 Jun. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran katrij cecair ‘vape’ atau rokok elektronik mengandungi dadah jenis kokain – yang pertama di Malaysia – selepas menahan empat individu termasuk tiga warga Singapura di Ampang Jaya, Selangor, pada 19 Jun.

Dengan penahanan itu, polis turut merampas 4,958 katrij cecair ‘vape’ bernilai RM7.2 juta ($2.16 juta).

Dadah berkenaan yang dibawa masuk dari Singapura dipercayai untuk pasaran individu kenamaan (VIP) dan antarabangsa.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata pihaknya menahan seorang warga tempatan dan tiga warga Singapura di dalam kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire di tempat letak kereta sebuah hotel di Ampang Jaya.

“Seorang suspek warga Singapura berumur 31 tahun dipercayai adalah dalang utama sindiket itu, manakala hasil semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 57 tahun mempunyai dua rekod jenayah.

“Ini menunjukkan sindiket itu aktif merentas sempadan dan tidak bergerak secara sendirian,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pada 23 Jun, lapor Harian Metro.

Datuk Mat Zani berkata pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 10 kotak mengandungi 4,958 katrij cecair ‘vape’ yang mengandungi kokain.

“Penahanan suspek membawa kepada pemeriksaan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur yang dijadikan lokasi pembungkusan semula katrij cecair ‘vape’ berkenaan.

“Siasatan awal mendapati semua katrij cecair ‘vape’ berkenaan adalah untuk pasaran antarabangsa yang dihantar menggunakan khidmat kurier,” katanya.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket itu ialah menyewa unit kondominium menggunakan Airbnb pada kadar RM300 sehari, untuk melakukan kegiatan pembungkusan semula dadah sebelum mengedarkannya ke luar negara.

“Sindiket terbabit menjadikan Malaysia transit sebelum dadah berkenaan dihantar ke luar negara untuk pasaran antarabangsa.

“Bagaimanapun kita percaya ada juga untuk dipasarkan kepada golongan VIP memandangkan katrij dijual pada harga RM1,500 setiap satu.

“Satu katrij berisi 1.9 mililiter (ml) cecair. Ini adalah kali pertama rampasan berupa katrij cecair ‘vape’ kokain dirampas di Malaysia memandangkan negara Asia tidak mendapat permintaan terhadap jenis ini kerana harganya yang tinggi,” ujar beliau.

Datuk Mat Zani berkata cecair dadah itu dipercayai dimasukkan ke dalam katrij ‘vape’ menggunakan picagari atau corong khas, sebelum ditutup semula dan disusun seolah-olah ia produk ‘vape’ biasa.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis ketamin. Semua suspek direman sehingga 26 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg