Topik diikuti
Pergi ke BHku30 Jun hari penentuan kes mahkamah Syed Saddiq
30 Jun hari penentuan kes mahkamah Syed Saddiq
Keputusan tentukan jika AP Muar kekal bebas atau dipenjara dalam kes libat dana parti; jadi penentu perjalanan kerjaya politik
30 Jun hari penentuan kes mahkamah Syed Saddiq
Tarikh 30 Jun merupakan detik penting buat Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pada tarikh tersebut, keputusan akhir Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada beliau kekal bebas atau dipenjarakan, atas tuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan menjadi penentu perjalanan kerjaya politik Syed Saddiq.
Syed Saddiq mungkin dibebaskan sekiranya mahkamah menolak rayuan pihak pendakwaan, atau diperintahkan menjalani hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pihak pendakwa raya.
Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana AP yang disabitkan atas sesuatu kesalahan oleh Mahkamah Persekutuan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari setahun, atau denda tidak kurang daripada RM2,000 ($631), akan hilang kelayakan sebagai AP serta sebagai calon dalam pilihan raya.
Pada 26 Jun 2025 lalu, pihak pendakwa merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun, yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 34 tahun, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Mahkamah Rayuan ketika itu sebulat suara membebaskan Syed Saddiq, selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dan mendapati pertuduhan bersubahat pecah amanah yang dihadapinya tidak berasas.
Keputusan itu dicapai panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Datuk Noorin dilaporkan berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan ia membawa kepada kekhilafan ketika membuat keputusan mensabit dan menghukum Syed Saddiq, dan ia memerlukan campur tangan mahkamah.
Keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 30 Jun pula dijangka disampaikan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Encik Ahmad Akram Gharib dan Cik Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Syed Saddiq mula berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai 2021, atas pertuduhan pecah amanah RM1 juta dan menyalahgunakan RM120,000 dana Armada untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada 5 Ogos 2021 pula, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan mahkamah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
Bekas Presiden parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) itu dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan RM100,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Syed Saddiq yang juga tunang pelakon dan penyanyi Malaysia, Bella Astilah, ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 25 Jun lalu, yakin kebenaran berpihak kepadanya dan berserah kepada Allah untuk sebarang keputusan.
